TENOM: Ucapan Presiden Parti Warisan, Datuk Seri Shafie Apdal yang menyifatkan kaum Murut sebagai ‘kafir’ dalam sebuah majlis bersama rakyat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Melalap baru-baru ini mencetuskan rasa kesal dan kemarahan banyak pihak.
Ketua Bahagian Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Tenom, Junik Bajik berkata, walaupun Shafie mendakwa hanya ‘tersasul’, kenyataan yang menyentuh sensitiviti kaum tidak wajar dijadikan bahan dalam mana-mana ceramah politik.
Katanya, kenyataan itu amat menyinggung perasaan masyarakat Murut selain turut dirasai oleh kaum bumiputera bukan Islam lain di Sabah.
“Bukan itu saja, malah ia membawa maksud yang sangat sensitif dan berbaur penghinaan. Apa yang amat dikesali, ini bukanlah kali pertama Shafie mengeluarkan kenyataan yang memperlekehkan kaum lain di Sabah,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Menurut Junik, sebelum ini Shafie juga pernah mencetuskan kontroversi apabila menyebut “tiada satu ekor Cina dalam kabinet”, yang dianggap menghina masyarakat Cina.
“Kenyataan jelik berulang kali seperti ini jelas menunjukkan sikap tidak sensitif terhadap kepelbagaian kaum di Sabah yang selama ini hidup harmoni. Tindakan Shafie wajar dikecam kerana boleh mencetuskan ketegangan antara kaum dan menggugat perpaduan rakyat,” tegasnya.
Sehubungan itu, beliau menggesa Shafie membuat permohonan maaf secara terbuka kepada masyarakat Murut khususnya, selain kepada seluruh rakyat Sabah dan Malaysia secara umum, serta berjanji tidak lagi mengulangi kenyataan berbaur penghinaan.



