Oleh Florieta Diet
KOTA KINABALU: Badan keagamaan dan pendidikan di Sabah menzahirkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri atas sokongan padu terhadap pembangunan rumah ibadat bukan Islam dan pendidikan vernakular.
Ucapan penghargaan itu disampaikan dalam Majlis Malam Mesra Ketua Menteri Bersama Masyarakat Tonghua, Sekolah dan Badan Keagamaan Bukan Islam di Dewan Hakka, di sini malam Isnin.
Pengerusi Gabungan Pertubuhan Penganut Agama Tao Sabah, Kong Shian Siong, berkata kerajaan negeri sentiasa prihatin termasuk menyalurkan bantuan penyelenggaraan dan pembinaan rumah ibadat bukan Islam.
“Dengan bantuan besar ini, tokong dan kuil dapat diselenggara dengan baik serta menjadi pusat aktiviti masyarakat. Konsep ‘Kebajikan Bersama Agama’ adalah kekuatan yang menjamin kestabilan masyarakat dan negara,” katanya.
Presiden Majlis Gereja-Gereja Sabah, Rev. Datuk Ir. Jerry Dusing, pula menegaskan sokongan kerajaan bukan sahaja meringankan beban pentadbiran gereja, malah mencerminkan komitmen terhadap keharmonian dan kebersamaan masyarakat majmuk.
Presiden Persatuan Lembaga Pengelola Sekolah-Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Sabah (Dong Lian), Ben Lim, berkata peruntukan RM30.5 juta kepada sekolah dan badan keagamaan bukan Islam bagi 2025 adalah jumlah terbesar sejak hampir 30 tahun lalu.
“Peruntukan ini bukan sekadar angka, tetapi mencerminkan komitmen kerajaan dalam memperkukuh pendidikan serta menyokong keperluan sekolah di seluruh negeri,” katanya.
Sementara itu, Datuk Au Kam Wah menekankan keprihatinan kerajaan terhadap sembilan buah Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC) di Sabah yang masih menanggung defisit operasi.
“Bantuan yang diterima hari ini bukan sekadar memenuhi keperluan semasa, tetapi pelaburan jangka panjang demi memastikan bahasa, budaya dan kepercayaan kita terus terpelihara untuk generasi akan datang,” katanya.



