Oleh Erdie Ab Wahid
KOTA KINABALU : Sebanyak 78 buah institusi pendidikan di negeri Sabah dilaporkan terkesan banjir yang melibatkan 68 buah sekolah rendah dan 10 buah sekolah menengah.
Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS) Datuk Raisin Saidin berkata, bilangan institusi pendidikan terlibat banjir adalah berdasarkan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) seluruh negeri.
Katanya, sebanyak sembilan buah PPD terlibat dalam bencana banjir yang berlaku baru-baru ini
“Antara PPD terlibat adalah Beaufort sebanyak 35 buah; Papar (20); Penampang (6); Nabawan (5) dan Keningau sebanyak tiga buah.
“Turut terjejas adalah di Sipitang sebanyak tiga buah; Tenom (3); Sipitang (3); Tenom (3); Tambunan (2) dan hanya sebuah di Kota Belud,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media di pejabatnya di sini pada Jumaat.
Raisin berkata, kerja pembersihan pasca banjir kini sedang berjalan atau telah selesai dilaksanakan dengan turut melibatkan sukarelawan Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM).
Katanya, sekitar 50 peratus sekolah terjejas telah siap dibersihkan.
“Nilai keseluruhan kerosakan sedang diperhalusi dan baik pulih akan segera dilaksanakan bagi memastikan akses pendidikan terbaik dan pengoperasian pendidikan yang lancar,” katanya.
Dalam pada itu, Raisin berkata, Tabung Pendidikan Negeri Sabah (TPNS) turut memberi bantuan berbentuk wang kepada 50 buah sekolah banjir semalam.
Katanya, bantuan Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAMP) kecemasan sebanyak RM300 setiap murid diberikan kepada murid yang layak.
Manakala katanya, insurans takaful telah diberikan kepada mangsa yang meninggal dunia akibat tanah runtuh.
“Yayasan Didik Negara (YDN) menyumbang kelengkapan sekolah kepada sekolah-sekolah terkesan banjir,” katanya. – SABAH MEDIA



