PRN SABAH
HomeUtamaIsteri bekas pengarah JANS: Saya hanya terima nafkah suami, tidak pernah soal...

Isteri bekas pengarah JANS: Saya hanya terima nafkah suami, tidak pernah soal asal usul wang

Read Time:3 Minute, 33 Second

Oleh J.Evachel John

KOTA KINABALU: Isteri kepada bekas Pengarah Jabatan Air Negeri Sabah (JANS), Fauziah Piut, memaklumkan kepada Mahkamah Khas Rasuah bahawa semua wang dalam akaun bank, barangan kemas serta barangan mewah yang dikaitkan dengannya adalah pemberian suami, hadiah, atau warisan keluarga.

Fauziah, 58, yang berkahwin dengan Ag Mohd Tahir Mohd Talib sejak 1987, berkata sebagai isteri beliau tidak pernah mempertikaikan dari mana datangnya wang yang diberi, sebaliknya menerima dengan penuh percaya bahawa ia daripada sumber halal.

“Sebagai isteri saya hanya menerima wang pemberian suami tanpa saya persoalkan berapa jumlahnya kerana saya sentiasa merasa cukup dengan pemberian suami. Lagipun, saya rasa tidak sopan sekiranya saya bertanya berapa yang suami saya hendak berikan atau yang sedang diberikan kerana wang itu pemberian suami saya.

“Saya juga tidak pernah mempersoalkan wang yang diberikan oleh suami saya, dan saya sangat percaya beliau memberikan hasil wang daripada sumber yang halal,” katanya ketika membaca kenyataan saksinya di hadapan Hakim Abu Bakar Manat.

Menurut Fauziah, pendapatan suaminya bermula ketika bekerja di JKR pada 1985 sebelum berpindah ke JANS sekitar 1990-an. Pada masa sama, suaminya turut menceburi perniagaan pembinaan dan kejuruteraan bermula dengan Haris seterusnya Michael Wong dan adiknya, Fauzi, dengan hasil yang memberangsangkan.

Dalam kenyataan saksinya, Fauziah menyatakan wang dalam akaun bank diberikan oleh Ag Tahir dan pemindahan wang dari satu akaun ke akaun lain dibuat berdasarkan nasihat pegawai bank untuk tujuan mendapat pulangan lebih baik.

Mengenai beg tangan berjenama, Fauziah berkata ada yang dibelinya sendiri, ada yang dihadiahkan oleh suaminya sempena hari jadi dan ulang tahun, serta ada juga pemberian rakan perniagaan suaminya.

“Saya ada beli beg-beg berjenama dengan menggunakan duit yang diberikan oleh suami saya. Selain itu suami saya ada juga membelikan beg tersebut kepada saya sebagai hadiah hari jadi, hari ulang tahun dan lain-lain. Saya juga pernah menerima beg-beg sebagai hadiah daripada rakan perniagaan suami saya tapi saya tidak ingat satu persatu mana hadiah dan mana yang saya beli,” katanya yang pernah bekerja sebagai Setiausaha di Ko-Nelayan dari 1985 hingga 2013 sebelum menjadi suri rumah sepenuh masa.

Mengenai barang kemas, ada yang beliau beli menggunakan duit gaji sendiri, ada yang dibeli dengan wang suami, selain hadiah hari lahir, ulang tahun, serta warisan keluarga.

“Ada yang memang menggunakan wang suami saya, ada yang warisan daripada ibu bapa, pemberian mertua dan warisan daripada arwah datuk dan nenek saya. Saya boleh tunjukkan mana satu barang-barang kemas ini yang merupakan warisan daripada ibu bapa, mertua, dan arwah datuk nenek sekiranya saya diberi peluang oleh Mahkamah yang mulia ini untuk mengenal pasti barang-barang tersebut. Saya yakin saya juga boleh tunjukkan mana yang saya beli sendiri dan mana yang merupakan hadiah dari suami saya,” tambahnya.

Menurut Fauziah beliau telah ditangkap pada 28 Disember 2016 dan hanya dibebaskan pada 26 Januari 2017.

“Dengan apa yang berlaku ke atas suami dan diri saya terutamanya publisiti yang luas di seluruh negara dan kerap disentuh atau diulang sejak sembilan tahun lalu, saya merasa amat sakit dan sedih.

“Saya berasa malu dan dipulaukan oleh keluarga dan kawan kerana kes ini. Yang Arif, saya tidak ada melakukan apa-apa kesalahan melainkan menerima wang dan hadiah daripada suami saya.

“Saya suku Brunei yang beragama Islam mempunyai adat resam dan fahaman agama bahawa suami adalah ketua keluarga dan apa juga pemberiannya kami terima dengan ikhlas tanpa menyoal dari manakah punca wang tersebut.

“Saya tidak pernah terlintas dalam fikiran atau hati saya ada wang atau hadiah pemberian suami saya adalah daripada sumber yang haram. Bagi saya, kesemuanya adalah sumber yang halal sama ada dari gaji atau pendapatan suami saya melalui perniagaannya,” katanya sambil menangis.

Ag Tahir, 63, berdepan 12 pertuduhan pengubahan wang haram, manakala Fauziah menghadapi 19 pertuduhan sama serta dua pertuduhan bersama suaminya, melibatkan sejumlah wang tunai, akaun bank, barangan kemas dan beg tangan berjenama.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di pelbagai lokasi di Kota Kinabalu, Sembulan dan Kuala Lumpur antara Oktober hingga November 2016.

Turut dibicarakan bersama ialah bekas timbalan pengarah JANS, Lim Lam Beng @ Lim Chee Hong, 69, yang menghadapi empat pertuduhan berasingan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Mahadi Abdul Jumaat, Haresh Prakash Somiah dan Zander Lim, manakala Ag Tahir dan Fauziah diwakili peguam Datuk Ansari Abdullah bersama Erveana Ansari. Lim pula dibela oleh Datuk Tan Hock Chuan, Baldev Singh dan Kelvin Wong.

Perbicaraan bersambung 22 Oktober depan.

RELATED ARTICLES
Utama

Jenazah Bung Moktar selamat dikebumikan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular