KOTA KINABALU: Seramai 219 mangsa bencana banjir dan tanah runtuh menerima sumbangan daripada Kementerian Komunikasi dalam satu majlis penyampaian yang berlangsung di Kompleks Bersepadu Kementerian Komunikasi di sini, pada Jumaat.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil yang hadir untuk menyampaikan bantuan tersebut turut menyatakan komitmen kementerian untuk menangani isu-isu yang dibangkitkan oleh mangsa, termasuk masalah tanah runtuh yang menjejaskan kediaman mereka.
“Saya akan memberi sedikit taklimat kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebaik beliau tiba di Kota Kinabalu,” katanya.

Dalam pada itu, Fahmi turut mengulas mengenai masalah putus bekalan elektrik yang berlaku di Pantai Timur Sabah baru-baru ini yang turut memberi kesan kepada menara telekomunikasi.
Sehubungan itu, beliau telah meminta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk meneliti data gangguan rangkaian sepanjang dua tahun lalu bagi mengenal pasti menara yang paling terkesan dan memberikan cadangan penyelesaian.
“Saya telah mengarahkan supaya menara-menara yang paling terkesan dilengkapkan dengan sistem penjana elektrik (genset), solar, atau bateri, supaya rangkaian tidak terputus semasa bencana,” katanya.
Selain itu, beberapa Pusat Maklumat Rakyat (NADI) di Sabah turut terjejas akibat tanah runtuh, menyebabkan gangguan bekalan elektrik. MCMC telah mengenal pasti 11 menara yang memerlukan tindakan segera untuk diperkukuhkan bagi mengelakkan gangguan rangkaian berulang, terutama semasa musim Monsun Timur Laut.

Sumbangan bantuan ini melibatkan 160 ahli Komuniti MADANI dari daerah Penampang, Beaufort, Kota Kinabalu, Papar, dan Tuaran, serta 56 warga jabatan dan agensi kementerian, dan tiga penerima dari Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI).
Majlis ini mencerminkan usaha berterusan Kementerian Komunikasi dalam memberikan sokongan kepada rakyat yang terjejas oleh bencana, serta memastikan infrastruktur komunikasi terus berfungsi dengan baik semasa keadaan darurat.



