TAWAU : Tawau bakal menjadi tuan rumah Jerayawara Yayasan Sabah Bersama Rakyat (YSBR) 2025 Peringkat Zon Pantai Timur Selatan yang akan berlangsung pada 29 September ini di Dewan Masyarakat Tawau.
Program bertemakan ‘Lestari Perpaduan dan Digitalisasi Niaga’ itu akan disempurnakan oleh Ketua Menteri Sabah merangkap Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor.
Pengarah Yayasan Sabah, Datuk Seri Gulamhaidar Khan Bahadar berkata, penganjuran jerayawara kali ini memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh perpaduan komuniti serta memperkasakan peniaga kecil dan usahawan melalui penggunaan teknologi digital.
“Peniaga tempatan boleh memanfaatkan aplikasi media sosial untuk mempromosikan produk mereka dengan lebih berkesan, selain dibantu pencipta kandungan dan ikon media sosial yang hadir bagi menyokong promosi sepanjang jerayawara ini,” katanya dalam kenyataan.
Menurut beliau, pelbagai inisiatif akan diperkenalkan termasuk penyampaian Tabung Pendidikan Negeri Sabah (TPNS) berupa biasiswa dan dermasiswa kepada pelajar B40 yang cemerlang dalam STPM 2024, serta Program Rebat Istimewa Madani 30 peratus bagi peminjam Pinjaman Pengajian Tinggi Yayasan Sabah yang membuat pembayaran penuh.
Program sehari itu akan bermula seawal jam 7 pagi dengan pengisian pameran interaktif, kuiz, demonstrasi produk, pameran pendidikan oleh University College Sabah Foundation (UCSF) dan Kolej Teknologi Yayasan Sabah (KTYS), selain penyertaan beberapa agensi kerajaan negeri dan persekutuan.
Acara turut diserikan dengan persembahan hiburan serta Jualan Rahmah Madani yang menawarkan barangan pada harga berpatutan.
Orang ramai khususnya penduduk Tawau dan kawasan sekitar dijemput hadir beramai-ramai bagi memanfaatkan peluang yang ditawarkan melalui Jerayawara YSBR 2025. – SABAH MEDIA



