Oleh Sitti Nor Azizah Talata
TAWAU: Program Jerayawara Yayasan Sabah Bersama Rakyat (YSBR) bukan sekadar karnival atau pameran, sebaliknya sebuah inisiatif berstruktur yang memberi tumpuan kepada pendekatan Menyantuni, Membimbing, dan Memperkasa rakyat di semua peringkat.
Ketua Menteri Sabah merangkap Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, penganjuran YSBR 2025 di Dewan Masyarakat Tawau hari ini adalah bukti komitmen kerajaan negeri untuk turun padang memahami keperluan sebenar rakyat, sama ada di bandar mahupun di ceruk kampung.
“Yayasan Sabah telah memainkan peranan amat penting, khususnya dalam bidang pendidikan. Sejak penubuhannya, ribuan anak-anak Sabah dari pelbagai latar belakang mendapat manfaat melalui biasiswa, dermasiswa dan pinjaman pendidikan,” katanya.
Dalam program itu, Hajiji diwakili oleh Menteri Sains, teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk Dr. Mohd Arifin Mohd Arif. Hadir sama ialah Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan dan Pengarah Yayasan Sabah, Datuk Sri Ghulamhaidar Khan Bahadar.
Turut diadakan sempena Program Jerayawara Yayasan Sabah Bersama Rakyat ialah
penyampaian Skim Bantuan Khas (SBK), Tajaan Pengajian Tinggi Yayasan Sabah 2025, Anugerah Pengusaha Kraftangan Berpotensi Kumpulan Yayasan Sabah, Geran Dana Mula Niaga, Program Khas Anak Negeri (PKAN) Sabah 2025, Program CSR Sabah Softwoods Berhad, Bantuan Tabung Pendidikan Negeri Sabah (TPNS) dan Inisiatif Bantuan Pendidikan Pejabat Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Tugas-Tugas Khas) serta Rumah Mesra SMJ
Menurut beliau, pembangunan modal insan kekal menjadi keutamaan kerajaan dengan penekanan terhadap pengukuhan institusi pengajian seperti University College Sabah Foundation (UCSF) dan Kolej Teknologi Yayasan Sabah (KTYS) yang berjaya melahirkan graduan berkemahiran dan berakhlak.
Kerajaan negeri turut menubuhkan Tabung Pendidikan Negeri Sabah (TPNS) bagi membantu pelajar yang berdepan cabaran kewangan agar tidak tercicir melanjutkan pengajian.
Selain pendidikan, Hajiji menegaskan Yayasan Sabah juga memainkan peranan dalam memperkasa masyarakat melalui pelbagai program keusahawanan, latihan kemahiran, pertanian, perikanan serta pembangunan luar bandar, termasuk inisiatif Program Intelek & Minda, Program STEM, dan Program Komuniti Kraf (PKK).
Dalam masa sama, aspek kelestarian alam turut diberi perhatian melalui Projek Konservasi Hutan Hujan Kuamut melibatkan kawasan seluas 83,381 hektar, yang menjadi projek pertama seumpamanya di Malaysia bagi menangani perubahan iklim dan memelihara biodiversiti.
Hajiji berkata, kejayaan Kumpulan Yayasan Sabah menjana hasil melalui syarikat berkaitan kerajaan (GLC) seperti Innoprise Corporation Sdn. Bhd. (ICSB), Sabah Softwoods Berhad, dan Benta Wawasan Sdn. Bhd. membolehkan keuntungan diagihkan semula untuk pendidikan, kebajikan dan pembangunan komuniti.
“ICSB telah mengisytiharkan dividen berjumlah RM150 juta pada 2024, menjadikannya GLC negeri dengan rekod tertinggi membayar dividen empat tahun berturut-turut,” jelasnya.
Beliau menyeru semua pihak termasuk pemimpin akar umbi, agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan sektor swasta untuk bersama-sama menjayakan YSBR 2025 sebagai usaha kolektif memupuk perpaduan dan kesejahteraan rakyat.
“Kita bukan sahaja menyampaikan bantuan, tetapi membawa semangat kesepakatan rakyat Sabah,” tambah Hajiji.



