Oleh Florieta Diet
KOTA KINABALU: Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS) dan BUDI MADANI RON95 (BUDI95) bukan sahaja memperkukuh penyampaian subsidi petrol kepada rakyat, malah menjadi strategi berkesan menangani isu ketirisan subsidi bahan api yang berlarutan sejak sekian lama.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali, berkata strategi ini sejajar dengan agenda kementerian dalam meningkatkan ketangkasan penguatkuasaan serta melaksanakan pengurusan risiko ketirisan melalui pengintegrasian penguatkuasaan digital.
“Melalui SKPS dan BUDI95, semua transaksi penjualan dan pembelian dari peringkat syarikat minyak, stesen minyak, syarikat serta pengguna individu akan direkodkan secara digital. Pembelian menggunakan kad fleet (syarikat) dan MyKad (individu) akan direkodkan dalam sistem bagi membolehkan pemantauan serta penguatkuasaan dilaksanakan secara cepat dan berkesan,” katanya pada sidang media di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini hari ini.
Beliau berkata sistem ini membolehkan pemantauan transaksi meragukan seperti pembelian berulang atau jumlah tidak wajar, sekali gus menyelesaikan isu manipulasi dalam rantaian penjualan dan pembelian termasuk di stesen minyak yang sering menjadi modus operandi penyeludupan dan penyelewengan sebelum ini.
Menurutnya, pelaksanaan penyasaran subsidi petrol RON95 secara menyeluruh pada 30 September 2025 akan disokong dengan kerjasama rapat antara KPDN dan Kementerian Kewangan selaku pemilik sistem, bagi mengesan sebarang transaksi meragukan.
“Semua pihak perlu bertanggungjawab terhadap penggunaan kad fleet, MyKad dan kaedah pembelian lain yang dibenarkan. KPDN ingin menegaskan bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang melakukan manipulasi, penyelewengan atau penyeludupan,” katanya.
Beliau menegaskan, kesalahan itu boleh diambil tindakan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 [Akta 122] dan peraturan berkuat kuasa. Individu yang disabitkan boleh didenda sehingga RM1 juta atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali, manakala syarikat pula boleh dikenakan denda sehingga RM2 juta.
Dalam masa yang sama, Armizan menambah kerajaan terbuka untuk melibatkan sektor pengangkutan air awam dalam penyasaran subsidi RON95, khususnya di Sabah, Sarawak dan kawasan pulau.
Beliau menjelaskan, sebelum ini tanggungjawab KPDN dalam SKPS hanya merangkumi sektor pengangkutan darat awam dan barangan, namun kerajaan mengambil maklum rayuan pelbagai pihak berhubung keperluan pengangkutan air awam seperti bot penumpang.
“Di Sabah dan Sarawak, pengangkutan air awam memainkan peranan penting dalam perkhidmatan masyarakat. Justeru, kerajaan melalui Kementerian Kewangan telah menyatakan kesediaan untuk melibatkan mereka, manakala KPDN akan meneliti mekanisme pelaksanaannya.
“Kami sedang mendapatkan data lengkap pengusaha bot penumpang daripada agensi negeri, termasuk Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah serta Lembaga Sungai-Sungai Sarawak, yang bertanggungjawab melesenkan perkhidmatan tersebut. Rekod ini akan menjadi asas untuk menentukan kaedah terbaik memastikan mereka dapat memanfaatkan subsidi RON95 dalam masa terdekat,” katanya.
Sementara itu, pelaksanaan rintis BUDI95 pada 27 dan 28 September lalu berjalan lancar, melibatkan dua kategori iaitu anggota keselamatan dan penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR).
“Berdasarkan rekod Kementerian Kewangan, pada hari kedua pelaksanaan (28 September), seramai 27,916 pengguna di Sabah telah memanfaatkan subsidi dengan menikmati harga runcit di pam serendah RM1.99 seliter,” katanya.
Tambah beliau, pelaksanaan menyeluruh BUDI95 akan bermula pada 30 September ini, yang disasarkan memberi manfaat kepada 16 juta rakyat Malaysia berumur 18 tahun ke atas.



