Oleh Wan Azrain Adnan
Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sekali lagi berdepan kontroversi tahunan berhubung proses kemasukan ke universiti awam. Isu ini kembali tercetus selepas beberapa kes terpencil melibatkan pelajar STPM cemerlang yang tidak mendapat tempat dalam kursus pilihan pertama mereka, khususnya program Perakaunan di Universiti Malaya.
Namun, kontroversi ini telah membayangi isu yang jauh lebih mendesak — cabaran guna tenaga penuh atau underemployment yang menjerat hampir dua juta graduan negara.
Setiap tahun, selepas pengumuman keputusan UPUOnline, tumpuan sering beralih kepada kisah segelintir pelajar yang tidak ditawarkan kursus idaman. Tahun ini, mungkin hanya satu atau dua kes yang diketengahkan — namun cukup untuk mencetuskan polemik di media sosial, bahkan turut digembar-gemburkan oleh pemimpin politik.
KPT bagaimanapun telah menegaskan proses pemilihan berasaskan prinsip meritokrasi. Menurut Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, daripada 1,255 calon STPM dengan Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 4.00, seramai 1,249 telah ditawarkan tempat, manakala selebihnya masih menunggu pengesahan keputusan Malaysian University English Test (MUET).
Isu yang menjadi tumpuan ialah program Perakaunan Universiti Malaya yang amat kompetitif. Pelajar yang mengadu tidak mendapat tempat berada pada kedudukan 1,129 daripada 2,291 permohonan yang layak, sedangkan hanya 85 tempat disediakan. Ini bermakna kadar kemasukan atau acceptance rate hanyalah 3.7%, sesuatu yang lazim bagi program bertaraf global.
Hakikatnya, program Perakaunan dan Kewangan Universiti Malaya kini berada dalam kelompok 100 terbaik dunia mengikut QS World University Rankings by Subject, malah mengekalkan peningkatan kedudukan sejak lima tahun lalu (63 pada 2025). Tidak hairanlah persaingan begitu sengit.
Ketelusan Data Masih Boleh Dipertingkat
Walaupun KPT memiliki asas kukuh untuk mempertahankan proses saringan UPU, langkah mendedahkan data tambahan seperti kadar penerimaan mengikut program dan jumlah pelajar PNGK 4.00 yang mendapat pilihan pertama mampu meredakan keresahan awam.
Pendekatan yang lebih telus, mencontohi amalan Universities and Colleges Admissions Service (UCAS) di United Kingdom, akan membantu membina keyakinan dan mengurangkan persepsi negatif bahawa sistem merit tidak adil.
Cabaran Sebenar: Guna Tenaga Penuh
Kekal memfokuskan isu kemasukan yang terpencil hanya mengalih perhatian daripada cabaran sebenar pendidikan tinggi negara — underemployment.
Menurut Laporan Sorotan Pasaran Buruh Suku Kedua 2025 oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), lebih 35.6% graduan berpendidikan tertiari bekerja dalam kategori separuh mahir atau berkemahiran rendah. Walaupun kadar pengangguran negara kekal rendah iaitu di bawah 4%, yang diterima pakai sebagai guna tenaga penuh, pekerjaan berkemahiran tinggi yang sesuai untuk graduan masih tidak mencukupi.
Keadaan ini membawa implikasi besar. Ramai graduan bergaji kecil sukar melunaskan pinjaman PTPTN; malah Menteri Pendidikan Tinggi mendedahkan 400,000 peminjam tidak pernah membuat bayaran balik dengan jumlah tunggakan mencecah RM5 bilion. Gaji yang rendah jelas tidak mampu menampung kos hidup bandar, apatah lagi membayar hutang pendidikan.
Isu lain yang perlu diberi perhatian ialah kemahiran bahasa Inggeris graduan. Menurut Pro-Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS), penguasaan bahasa ini telah merosot ketara sepanjang dua dekad lalu dan menjadi antara aduan terbesar majikan swasta. Masalah ini berpunca daripada kelemahan sistem pendidikan yang gagal ditangani secara serius.
Tumpuan KPT Perlu Tepat
KPT perlu tegas mempertahankan integriti sistem meritokrasi sedia ada dengan fakta dan data yang telus. Pada masa yang sama, kementerian mesti mengalihkan fokus kepada isu-isu yang menjejaskan masa depan graduan — terutamanya peluang pekerjaan berkemahiran tinggi dan kebolehpasaran mereka.
Polemik kemasukan yang bersifat terpencil tidak wajar dibiarkan mengalih perhatian negara daripada cabaran sebenar yang dihadapi oleh hampir satu daripada tiga graduan. Dalam landskap ekonomi yang semakin kompetitif, isu underemployment inilah yang menuntut keberanian dan kemahuan politik untuk diselesaikan, bukan lagi pertikaian tahunan mengenai kursus pilihan pertama di universiti awam.



