PRN SABAH
HomeUtamaKes bakar isteri, suami dipenjara 33 tahun

Kes bakar isteri, suami dipenjara 33 tahun

Read Time:1 Minute, 47 Second

Oleh J. Evachel John

KOTA KINABALU: Seorang lelaki yang membakar isterinya sehingga mengakibatkan maut dalam satu kejadian di Keningau tahun lalu dijatuhi hukuman penjara 33 tahun atas kesalahan membunuh oleh Mahkamah Tinggi di sini, hari ini.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Dr Lim Hock Leng memerintahkan Patersius Juliteh @ Julit, 52, menjalani hukuman itu bermula dari tarikh tangkapannya pada 3 Februari 2024.

Memandangkan tertuduh berusia lebih 50 tahun, tertuduh terlepas daripada hukuman sebat selaras dengan Seksyen 289(c) Kanun Tatacara Jenayah.

Mahkamah menjatuhkan hukuman itu selepas mendapati Patersius bersalah membunuh isterinya, Sansiah Tinggian, 41, pada 2 Februari 2024, kira-kira jam 11 malam, di sebuah rumah tidak bernombor di Kg Tinagalan Sook, Keningau.

“Selepas meneliti semua keterangan dan mengambil kira hujahan daripada peguam bela serta timbalan pendakwa raya pada akhir perbicaraan, mahkamah mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes terhadap tertuduh mengikut pertuduhan tanpa keraguan munasabah.

“Secara khusus, mahkamah mendapati mangsa ialah Sansiah Tinggian, yang meninggal dunia akibat kecederaan dan komplikasi daripada kesan melecur teruk selepas dibakar oleh tertuduh dengan pengetahuan bahawa perbuatan itu amat berbahaya serta berkemungkinan besar menyebabkan kematian atau kecederaan parah yang boleh membawa maut,” kata hakim.

Tertuduh disabitkan kesalahan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak lebih 40 tahun. Jika tidak dijatuhkan hukuman mati, pesalah lelaki bawah umur 50 tahun hendaklah dihukum dengan sekurang-kurangnya 12 sebatan.

Dalam menjatuhkan hukuman, mahkamah antara lain mengambil kira cara pembunuhan dilakukan serta penderitaan yang dialami mangsa sebelum meninggal dunia.

Semasa rayuan peguam Abdul Fikry Jaafar Abdullah yang mewakili tertuduh memohon budi bicara mahkamah agar menjatuhkan hukuman penjara dan bukannya hukuman mati.

Abdul Fikry antara lain berhujah bahawa tertuduh adalah pesalah kali pertama dan tiada niat untuk membunuh serta tiada perancangan awal bagi melakukan jenayah tersebut.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Dacia Jane Romanus memohon mahkamah menjatuhkan hukuman mati dengan mengambil kira keseriusan kes itu serta kepentingan awam.

Dacia menegaskan mahkamah perlu menghantar mesej jelas bahawa sebarang keganasan dalam keluarga akan menerima hukuman paling berat.

“Tiada sesiapa seharusnya berasa tidak selamat di rumah sendiri,” katanya.

Seramai tujuh saksi pendakwaan dan dua saksi pembelaan termasuk tertuduh memberi keterangan semasa perbicaraan.

RELATED ARTICLES
Utama

ADUN, jentera parti GRS, penduduk DUN Sulaman hadir ke Majlis Kesyukuran...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular