TAWAU: Majlis Agama Islam Sabah (MUIS) menegaskan komitmennya bukan sahaja dalam memperkukuh aspek dakwah dan pendidikan, malah terus menyalurkan bantuan kebajikan kepada golongan asnaf serta mangsa bencana di seluruh negeri.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr. Mohd Arifin Mohd Arif berkata, usaha ini dilaksanakan secara berterusan melalui pelbagai saluran termasuk bahagian zakat dan fitrah.
“Tahun ini lebih RM20 juta diperuntukkan khusus untuk bantuan pendidikan, derma siswa serta sokongan kebajikan lain. MUIS juga sentiasa hadir membantu mangsa kebakaran, banjir dan lain-lain musibah di setiap daerah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyampaikan sumbangan MUIS kepada 10 keluarga mangsa kebakaran di Batu Empat, Tawau dalam majlis yang diadakan di Masjid Al Hidayah Nurul Jannah, Kampung Hidayat, di sini hari ini.
Dalam majlis itu, setiap keluarga menerima bantuan tunai RM1,000 dan bakul makanan, selain inisiatif tambahan melalui Tabung Pendidikan Negeri Sabah yang akan menyalurkan bantuan kelengkapan sekolah kepada anak-anak mangsa.
Menurut Mohd Arifin, inisiatif itu jelas menunjukkan peranan MUIS yang dekat dengan masyarakat, bukan sahaja dalam membimbing ummah melalui program keilmuan dan dakwah, tetapi juga menjaga kebajikan mereka yang ditimpa musibah.
“MUIS bergerak sebagai institusi menyeluruh. Kami memastikan asnaf terbela, pendidikan anak-anak diperkasa dan kebajikan masyarakat terus dijaga,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan penduduk terutama yang tinggal di kawasan setinggan dan rumah atas air supaya sentiasa berhati-hati serta mengutamakan aspek keselamatan.
“Saya harap JKKK dan ketua-ketua kampung sentiasa menasihati penduduk agar lebih berwaspada, khususnya dalam keadaan cuaca sekarang,” tambahnya.



