PRN SABAH
HomeUtamaPasukan Hydroheroes SM All Saints rangkul juara Social Project Challenge 2025

Pasukan Hydroheroes SM All Saints rangkul juara Social Project Challenge 2025

Read Time:1 Minute, 42 Second

Oleh Normimie Diun

KOTA KINABALU: Pasukan Hydroheroes dari Sekolah Menengah (SM) All Saints, Kota Kinabalu muncul juara pertandingan Social Project Challenge (SPC) 2025 selepas menewaskan sembilan finalis lain dalam acara yang berlangsung di Hotel Crystal Crown Palace, Petaling Jaya pada 27 September lalu.

Kejayaan itu membolehkan pasukan berkenaan membawa pulang hadiah utama wang tunai RM2,500.

Pasukan Hydroheroes dianggotai lima pelajar tingkatan 5 iaitu Boy Foo E Nang @ Jacob, Mirza Abreshyam Latif, Ryan Adriel, Wesley Vijay dan Joshua Robin yang berjaya menambat hati juri dengan projek penapis air mudah alih direka untuk membantu penduduk kampung yang berdepan masalah bekalan air bersih.

Guru penasihat pasukan, Cikgu Siti Azizah Md Yussof berkata, pencapaian tersebut membuktikan kemampuan pelajar Sabah bersaing di peringkat kebangsaan.

“Usaha gigih pasukan Hydroheroes selama enam bulan akhirnya membuahkan hasil. Mereka bukan sahaja mencipta inovasi penapis air Mini H2O Purifier, malah turut menjalankan kajian lapangan di Sungai Kampung Brunei Membakut serta membentangkan prototaip kepada komuniti di Kg Kokol Lot Pelayas,” katanya ketika dihubungi Sabah Media hari ini.

Menurutnya, pengalaman mengikuti sesi kajian, bootcamp dan pembentangan menjadi bekalan berharga buat pasukan mereka.

“Saya berharap kejayaan ini menjadi inspirasi kepada pelajar lain untuk terus berani mencuba dalam apa jua bidang. Dunia semakin berubah, dan kita juga perlu berubah untuk maju ke hadapan. Life is tough, but we’re tougher,” ujar Siti Azizah lagi.

Sementara itu, ketua pasukan, Boy Foo E Nang @ Jacob, meluahkan rasa bangga kerana dapat mengharumkan nama sekolah dan negeri.

“Kejayaan ini hasil kerjasama rakan sepasukan, guru serta sokongan Penolong Kanan Kokurikulum, Cikgu Marcus Khoo. Kami juga berterima kasih kepada Universiti Malaysia Sabah (UMS), khususnya Prof Madya ChM Dr Moh Pak Yan dari Fakulti Sains dan Sumber Alam  dan Pegawai Sains Kanan (Sektor Pembudayaan STEM), U-Science UMS, Malcolm Boxey Jilimin  yang banyak membantu dan membimbing kami sepanjang kajian,” katanya.

Pertandingan SPC merupakan inisiatif anjuran MyHarapan dengan tajaan Yayasan TM.

Ia bermula dengan 60 penyertaan sebelum disaring kepada 35 pasukan, kemudian 15 pasukan terpilih menyertai bootcamp Jun lalu. Daripada jumlah itu, hanya 10 pasukan layak ke peringkat akhir.

RELATED ARTICLES
Utama

Program Pembersihan Pantai Tahunan Ke-11 teguhkan komitmen FOSTER terhadap pemuliharaan penyu...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular