Oleh Ahmad Husnayan
LAHAD DATU: Kerajaan negeri di bawah pimpinan Datuk Seri Hajiji Noor terbukti berjaya membawa pembangunan dan kesejahteraan kepada rakyat, sekali gus perlu dipertahankan demi kestabilan politik Sabah.
Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, Barisan Nasional (BN) dan Parti Warisan (Warisan) pernah bersekongkol dalam usaha menjatuhkan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menerusi gerakan Langkah Kinabalu, biarpun kerajaan sedia ada dipilih secara sah oleh rakyat.
“Mereka cuba merampas kuasa melalui pintu belakang, namun ramai wakil rakyat masih waras dan menolak politik tanpa penghujung.
“Apa yang rakyat mahukan ialah pemimpin yang menjaga kestabilan, bukan hanya pandai beretorik,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Malam Kebudayaan sempena Festival Vaganza Etnik & Food Culture Lahad Datu 2025 di perkarangan pawagam lama, di sini, semalam.
Nizam berkata, sejak GRS mengambil alih pentadbiran, Sabah menyaksikan peningkatan pelaburan, perkembangan ekonomi dan hasil negeri disalurkan kembali kepada rakyat melalui pelbagai bentuk bantuan tanpa mengira kaum, agama atau latar belakang.
“Ini kerajaan yang kurang bercakap, kurang berjanji, tetapi sudah membuktikan banyak manfaat untuk rakyat.
“Berbeza dengan pemimpin yang pandai berjanji, tetapi apabila berkuasa, tidak ada apa-apa yang dilaksanakan,” katanya.
Dalam masa sama, Nizam memuji penganjuran program kebudayaan itu kerana berjaya menghimpunkan pelbagai lapisan masyarakat sekali gus mencerminkan semangat perpaduan di negeri ini.
Katanya, tradisi dan budaya etnik Sabah bukan sekadar warisan, sebaliknya aset pelancongan yang mampu menjana ekonomi kepada negeri, daerah serta komuniti setempat.
“Acara seperti ini perlu dijadikan program tahunan sebagaimana Festival Kebudayaan Antarabangsa Tawau yang kini memasuki edisi ke-10 dan berjaya menarik penyertaan hingga ke luar negara,” jelasnya.
Beliau berkata, kestabilan politik dan keharmonian masyarakat yang wujud ketika ini membolehkan kerajaan negeri menumpukan sepenuhnya kepada pembangunan rakyat.
“Selagi kerajaan ini dipertahankan, lebih banyak agenda pembangunan dapat direalisasikan demi kesejahteraan rakyat Sabah,” katanya.



