KOTA KINABALU: Kesemua presiden parti komponen dalam Parti Gabungan Rakyat Sabah (GRS) disahkan menghadiri satu mesyuarat khas yang diadakan di kediaman rasmi Ketua Menteri Sabah di sini, malam ini.
Mesyuarat yang bermula sekitar jam 7 malam itu dipercayai bertujuan meraikan pandangan serta pendirian setiap presiden parti, sekali gus membincangkan hala tuju dan strategi gabungan tersebut menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 yang dijangka diadakan tidak lama lagi.
Terdahulu, timbul spekulasi mengenai kedudukan Parti Solidariti Tanah Airku (Sabah STAR) dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) selepas desas-desus bahawa gabungan itu mungkin menjalin kerjasama pilihan raya dengan Pakatan Harapan (PH).
Presiden Sabah STAR, Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan, sebelum ini menegaskan pendiriannya agar GRS bertanding secara solo demi memenuhi aspirasi rakyat Sabah yang mahukan wakil tempatan.
Beliau bersama semua presiden parti komponen difahamkan hadir untuk memberikan pandangan masing-masing dalam mesyuarat khas itu.



