SANDAKAN: Politeknik Sandakan Sabah (PSS) buat julung kalinya telah berjaya melaksanakan Program Sijil Micro Credential Standalone “Teknologi Pembiakan Ikan Air Tawar (Pelian)” dari 25 hingga 29 September lalu.
Program selama lima hari yang dilaksanakan sepenuhnya di Pusat Pembenihan PSS ini merupakan inisiatif strategik Kerajaan di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bagi meningkatkan kemahiran serta memperkasa taraf hidup dan ekonomi komuniti setempat, selaras dengan hasrat menjadikan politeknik sebagai penyedia latihan TVET.
Seramai 20 peserta yang menyertai kursus telah didedahkan dengan pengetahuan menyeluruh termasuk: teknik pembenihan (termasuk suntikan hormon dan penetasan telur) dan pengurusan asuhan anak benih ikan
Kesemua peserta berjaya melalui penilaian teori dan amali, dan seterusnya menerima Sijil Kompetensi yang diiktiraf oleh Jabatan Perikanan Negeri Sabah, yang bekerjasama dalam penganjuran program ini.
Pengarah Politeknik Sandakan Sabah, Mohd Sahran @ Awang Mohidin berkata, kejayaan penganjuran program ini membuktikan komitmen institusi dalam memperkasakan industri akuakultur tempatan.
“Kami berbangga dapat melahirkan lebih ramai individu berkemahiran yang berpotensi menjana pendapatan melalui teknologi pembenihan ikan air tawar, khususnya Pelian,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Berdasarkan kejayaan ini, PSS berhasrat untuk terus memperluas penawaran program “micro credential” bagi menyokong aspirasi pendidikan sepanjang hayat serta keperluan industri di peringkat negeri dan negara.



