Oleh Ahmad Husnayan
TAWAU: Seorang lelaki warga asing berdepan hukuman mati selepas ditahan kerana dipercayai terbabit dalam kegiatan pengedaran dadah di kawasan perumahan pekerja ladang sawit di Kalabakan, semalam.
Suspek berusia 50-an itu ditahan kira-kira jam 7 malam menerusi Op Gempur Khas ketika berada di ruang tamu rumah berkenaan.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin, berkata pihaknya sebelum ini menerima maklumat awam mengenai kegiatan mengedar dadah di kawasan tersebut.
Katanya, hasil pemeriksaan lanjut mendapati suspek menyerahkan sendiri satu beg kecil berzip hitam yang mengandungi satu paket plastik lutsinar berisi hablur jernih dipercayai syabu seberat 63.42 gram.
“Ujian saringan awal air kencing turut mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine.
“Suspek bersama semua rampasan dadah yang dianggarkan bernilai RM6,300 itu dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, polis masih mengesan individu lain yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kegiatan pengedaran dadah berkenaan selain giat menjalankan risikan bagi mengenal pasti rangkaian sindiket yang terbabit.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan, selain Seksyen 15(1)(a) akta sama kerana positif dadah,” katanya.
Jasmin menegaskan, pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang terbabit dalam aktiviti pengedaran dadah.
“PDRM Tawau komited membanteras sindiket dadah habis-habisan kerana ia merupakan ancaman besar kepada keselamatan masyarakat.
“Orang ramai digesa menyalurkan maklumat segera kepada pihak polis bagi membantu usaha mengekang kegiatan ini,” katanya.



