PRN SABAH
HomeUtamaBeri kawalan akaun bank pada ‘scammer’, wanita hamil dipenjara 1 tahun

Beri kawalan akaun bank pada ‘scammer’, wanita hamil dipenjara 1 tahun

Read Time:1 Minute, 55 Second

Oleh J. Evachel John

KOTA KINABALU: Seorang wanita hamil dijatuhi hukuman penjara setahun oleh Mahkamah Sesyen di sini, selepas mengaku bersalah memberikan kawalan akaun bank miliknya kepada individu lain tanpa sebarang kuasa sah.

Tertuduh, Azira Awang Ahmad, 21, membuat pengakuan di hadapan Hakim Hurman Hussain, hari ini.

Mengikut pertuduhan, Azira secara langsung memberikan kawalan akaun CIMB miliknya kepada seorang lelaki tanpa kuasa sah, pada 14 April lalu, antara jam 4.19 petang hingga 6.12 petang, di CIMB Bank Pekan Ranau.

Azira didakwa mengikut Seksyen 424B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman denda antara RM10,000 hingga RM100,000, atau dipenjarakan selama tempoh tidak kurang daripada satu tahun tetapi tidak melebihi tujuh tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Mahkamah turut memerintahkan Azira, yang kini sedang menjalani hukuman penjara lima tahun kerana kesalahan berulang penyalahgunaan dadah, menjalani hukuman penjara setahun itu bermula dari tarikh dia ditangkap pada 30 Jun lalu.

Dalam rayuannya, Azira yang tidak diwakili peguam memohon agar hukuman penjara itu berjalan serentak dengan tempoh lima tahun yang sedang dijalaninya, dengan alasan dia kini sedang hamil.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Yousof Tahir Mahmood memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berat melibatkan penjara dan denda sebagai pengajaran dengan mengambil kira peningkatan kes seumpama itu.

Terdahulu, Mahkamah dimaklumkan bahawa pada 14 April lalu, seorang pengadu melihat mesej di aplikasi Telegram berhubung tawaran membeli emas lelong berharga RM320. Pengadu yang berminat dengan tawaran tersebut kemudian menghubungi pemilik iklan berkenaan.

Pengadu diarahkan membuat beberapa transaksi secara berperingkat ke dalam akaun bank milik tertuduh (Azira) bagi tujuan pembelian emas lelong berkenaan.

Pada hari sama, antara jam 4.19 petang hingga 6.12 petang, pengadu membuat tiga pindahan wang berjumlah keseluruhan RM2,320 ke dalam akaun CIMB milik tertuduh.

Tertuduh ditahan pada 30 Jun lalu, susulan laporan polis yang dibuat.

Siasatan mendapati akaun bank tersebut adalah milik Azira sendiri, namun tertuduh telah menyerahkan kawalan akaun itu kepada seorang lelaki dikatakan bernama Mohamad Dahari yang sehingga kini tidak dapat dikesan.

Azira secara langsung dan tanpa sebab munasabah memberikan kawalan akaun tersebut kepada orang lain. Tertuduh juga gagal membuat laporan polis selepas kad ATM CIMB beliau tidak lagi berada dalam miliknya.

Selain itu, hasil siasatan juga mendapati bahawa sepanjang kad ATM akaun bank tertuduh tidak berada dalam milikannya, terdapat beberapa transaksi yang berlaku melalui akaun tersebut, termasuk transaksi yang dibuat oleh pengadu.

RELATED ARTICLES
Utama

Projek tebatan banjir Tenom diteruskan – Jamawi

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular