SANDAKAN: Dua lelaki termasuk seorang warga asing ditahan dalam “Ops Tapis Narkotik” di dua lokasi berlainan di daerah ini pada Rabu.
Operasi yang dijalankan dari jam 9.00 pagi hingga 4.00 petang itu berjaya menahan kedua-dua suspek yang kemudian didapati positif dadah melalui ujian saringan air kencing.
Dalam kejadian pertama, seorang lelaki warganegara tempatan ditahan oleh anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) di perumahan Taman Tyng, Batu 6, kerana disyaki memiliki dadah jenis syabu.
Penahanan dibuat di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Serbuan kedua pula menyaksikan tim operasi Batalion 15 Pasukan Gerakan Am menahan seorang lelaki warga asing di Kampung Bahagia di bawah Seksyen 39A(1) Akta yang sama yang membawa hukuman lebih berat.
Kedua-dua suspek telah dibawa ke pejabat BSJND untuk ujian saringan air kencing. Keputusan ujian mengesahkan kedua-duanya positif dadah.
Mereka kini ditahan reman di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sandakan untuk siasatan lanjut.
Ketua Polis Daerah Sandakan Asisten Komisioner George Abd Rakman menegaskan bahawa operasi seumpama ini akan dilaksanakan secara berterusan bagi memastikan daerah Sandakan bebas daripada ancaman dadah.



