KOTA KINABALU : Beberapa daerah di Sabah dijangka berdepan cuaca buruk petang ini dengan amaran ribut petir, hujan lebat serta angin kencang yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).
MetMalaysia dalam satu kenyataan memaklumkan, keadaan cuaca tersebut melibatkan daerah Sipitang, Tenom, Kuala Penyu, Beaufort, Keningau dan Tambunan di kawasan Pedalaman, selain beberapa kawasan di Pantai Barat.
Amaran ribut petir ini berkuat kuasa sehingga jam 7 malam pada Khamis.
MetMalaysia menjelaskan, amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda berlakunya ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 milimeter sejam yang hampir atau dijangka berterusan melebihi tempoh satu jam.
Sehubungan itu, orang ramai terutama di kawasan berisiko dinasihatkan supaya lebih berwaspada terhadap kemungkinan banjir kilat, pokok tumbang serta gangguan bekalan elektrik akibat ribut petir.
Orang awam turut disarankan untuk mengelakkan aktiviti luar sepanjang tempoh amaran berkuat kuasa dan mematuhi sebarang arahan daripada pihak berkuasa. – SABAH MEDIA



