Oleh Ahmad Husnayan
TAWAU: Masalah air yang menghimpit penduduk Tawau dijangka selesai sepenuhnya pada 2028 apabila projek Skim Bekalan Air Tawau Fasa III di Empangan Cinta Mata siap dibina.
Setakat ini, projek berkenaan sudah mencapai kemajuan 64 peratus dan terus berjalan selepas beberapa kali tertangguh sejak dimulakan pada 2016.

Ahli Parlimen Tawau, Datuk Lo Su Fui, berkata projek itu antara usaha jangka panjang kerajaan bagi memastikan rakyat Tawau tidak lagi berdepan catuan air berlarutan.
“Kali ini bukan sekadar slogan, projek benar-benar berjalan. Dengan taklimat dan lawatan ini rakyat boleh tahu situasi sebenar. Kita harap jadual siap 2028 tidak terganggu lagi.
“Sementara itu, langkah jangka pendek sudah diambil termasuk tambah lori penghantar air serta kerjasama dengan konsesi pembekal,” katanya ketika ditemui selepas sesi libat urus bersama Jabatan Air di sini, hari ini.
Menurut Lo, kelewatan sebelum ini berpunca daripada pertukaran kerajaan serta sekatan ketika COVID-19 yang menjejaskan permit pekerja asing.
“Projek hanya disambung semula pada 2023 dan harap kali ini berjalan ikut jadual,” katanya.
Beliau turut menegaskan usaha kerajaan negeri untuk mengatasi kadar kehilangan air tanpa hasil (non-revenue water) yang kini mencecah 55 peratus di Tawau.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balung, Datuk Hamild Awang, berkata pembinaan Loji Rawatan Air Balung II bakal dimulakan pada 2026 dan siap 2029 bagi menampung keperluan air di DUN Balung dan Apas.
“Loji sedia ada hanya mampu bekalkan 22 juta liter sehari, sedangkan keperluan dua kawasan ini cecah 30 juta liter. Apabila Loji Balung II siap, masalah boleh selesai sepenuhnya,” katanya.
Hamild berkata, sementara menunggu projek itu siap, pelbagai inisiatif dilaksana termasuk hantar bekalan air menggunakan lori Jabatan Air, lori swasta sewaan dan penyediaan tangki statik di kampung terjejas seperti Kampung Serudung, Blok 31 dan Kongsi 10.
Beliau turut berterima kasih kepada Lo kerana membantu menyediakan telaga tiup di Kampung Kongsi 10 sebagai alternatif sementara bagi penduduk setempat.



