KOTA KINABALU: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) telah menyelesaikan kira-kira 75 peratus aduan yang diterima daripada penduduk sekitar bandaraya setakat ini.
Datuk Bandar Kota Kinabalu Datuk Seri Dr Sabin Samitah berkata, baki dari jumlah itu kini masih dalam proses tindakan berikutan beberapa kekangan termasuk keperluan bajet dan penglibatan agensi kerajaan lain.
“Dari segi penyelesaian aduan, kita dapati kebanyakan telah disalurkan kepada DBKK melalui hotline kita dan kita cuba mengambil tindakan untuk memastikan seperti kerosakan yang kecil kita cuba selesaikan dengan segera.
“Memang dari segi penyelesaian itu, dia masih rendah lagi lebih kurang 75 peratus tetapi yang 25 peratus itu dia melibatkan agensi Kerajaan yang lain dan juga bajet yang agak besar. Ini akan kita laksana secara berfasa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Hari Bertemu Pelanggan di perkarangan ibu pejabat DBKK di sini pada Sabtu.
Sabin berkata, antara aduan utama yang terus menjadi rungutan penduduk adalah isu kenderaan tersadai dan parkir tidak bertanggungjawab di kawasan perumahan.
Katanya, penduduk memaklumkan terdapat kenderaan ditinggalkan oleh pemilik di tepi jalan atau parkir yang menyukarkan pergerakan keluar masuk, terutama bagi lori pengutip sampah.
“Masalah ‘double park’ di kawasan apartmen menyukarkan lori DBKK untuk masuk dan menjalankan kutipan mengikut jadual. Akibatnya, sampah tidak dapat diambil tepat pada masa, dan ini mencetuskan rasa tidak puas hati apabila sampah mula bertaburan,” katanya.
Justeru beliau menyeru agar penduduk lebih prihatin terhadap peraturan parkir dan tidak meninggalkan kenderaan di lokasi yang mengganggu operasi harian pihak berkuasa tempatan.
Dalam masa yang sama, pihaknya juga sedang mempertimbangkan tindakan lanjut terhadap pemilik kenderaan yang mengabaikan arahan. – SABAH MEDIA



