KOTA KINABALU : Seramai 30 pegawai dan kakitangan Istana Seri Kinabalu di sini semalam melafaz dan menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR) yang berlangsung di Dewan Utama, Istana Seri Kinabalu.
Sesi lafaz ikrar telah diketuai Setiausaha Sulit kepada Yang Dipertua Negeri Sabah, Izarudin Jalaludin dan disaksikan oleh Pengarah SPRM Sabah, Datuk Fuad Bee Basrah.
Izarudin dalam ucapan aluannya merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada SPRM Sabah atas kerjasama dan komitmen yang diberikan dalam menjayakan program ini.
Beliau turut mengingatkan pegawai dan kakitangannya bahawa rasuah berlaku dalam pelbagai bentuk termasuk salah guna kuasa dan penyelewengan.
“Integriti adalah kunci untuk mengelakkan diri daripada terpalit dengan rasuah, maka sentiasalah menjadikan integriti sebagai amalan dan pedoman,” katanya.
Turut Hadir Timbalan Pengarah (Operasi) SPRM Sabah, Syamsul Osman; Timbalan Pengarah (Pencegahan) SPRM Sabah, Alexander S. Kunghi; Ketua Cawangan Pendidikan Masyarakat (PenMas) SPRM Sabah, Maysara Mohammad dan Pengawai PenMas SPRM Sabah, Jasni Gayung.



