PRN SABAH
HomeUtamaKelulusan pembinaan jeti Beluran bukti suara rakyat luar bandar didengar

Kelulusan pembinaan jeti Beluran bukti suara rakyat luar bandar didengar

Read Time:2 Minute, 13 Second

Oleh J. Evachel John

BELURAN: Penduduk Beluran berharap agar pembinaan baru jeti pelancongan di Pekan Beluran dapat dilaksanakan bagi memberi impak positif kepada ekonomi serta kehidupan masyarakat setempat.

Setiausaha Persatuan Pelancongan Daerah Beluran Erlyane Joan berkata kelulusan yang diumumkan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor dua bulan lepas membuktikan suara penduduk luar bandar didengar dan diambil serius oleh kerajaan negeri.

“Harapan besar rakyat kini adalah agar projek ini tidak hanya berhenti pada peringkat kelulusan semata-mata, tetapi benar-benar dilaksanakan secepat mungkin.

“Semoga perancangan yang telah diumumkan ini dapat direalisasikan tanpa sebarang kelewatan, dan proses pelaksanaannya berjalan dengan lancar sehingga siap sepenuhnya,” katanya ketika dihubungi Sabah Media hari ini.

Menurutnya, dengan adanya jeti pelancongan, Beluran berpotensi menjadi destinasi yang lebih dikenali serta menarik minat pelancong, sekali gus membuka ruang perniagaan baharu kepada masyarakat tempatan.

Katanya lagi, projek itu selari dengan agenda memperkasa kawasan luar bandar agar tidak ketinggalan dalam arus pembangunan negeri.

“Pembangunan sebegini sememangnya dinantikan sejak sekian lama kerana ia akan memberi kesan besar kepada kehidupan penduduk, bukan sahaja dari segi kemudahan pengangkutan dan akses keperluan harian, tetapi juga dalam membuka peluang ekonomi serta potensi sektor pelancongan di kawasan ini,” tambahnya.

Mengulas tanggapan bahawa pengumuman projek tersebut hanya bersifat janji politik menjelang pilihan raya, beliau berkata masyarakat wajar melihatnya daripada sudut positif.

“Memang biasa apabila sesuatu projek diumumkan, akan ada suara yang menganggapnya sekadar ‘gula-gula’. Namun bagi saya, kita wajar melihat perkara ini dari sudut positif.

“Kelulusan sudah diumumkan sendiri oleh Ketua Menteri dan ini juga jadi bukti bahawa suara rakyat sudah sampai ke pihak kerajaan. Yang penting sekarang, kita sama-sama pantau dan beri sokongan agar pelaksanaan berjalan lancar,” katanya.

Pada 16 Ogos lalu, Hajiji mengumumkan meluluskan permohonan pembinaan baru Jeti Pelancongan di pekan Beluran dan Jalan ke Tapak Perkampungan Baru, di kampung Air, Beluran, semasa merasmikan Pesta Labuk Beluran 2025 di daerah ini.

Hajiji turut meminta pihak pentadbiran daerah Beluran untuk menulis surat dengan kos anggaran projek ini kepada beliau secepat mungkin.

LINK BERITA TERDAHULU:
https://sabahmedia.com/2025/08/16/beluran-bakal-miliki-jeti-pelancongan-dan-jalan-raya-baharu/

Sementara itu, Pembantu Menteri Kementerian Pembangunan Luar Bandar Sabah Datuk Samad Jambri @ Jamri ketika dihubungi Sabah Media berkata pihaknya telah menghantar permohonan rasmi kepada Ketua Menteri untuk tidakan lanjut.

Samad yang juga juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) N.49 Labuk turut berharap semuanya berjalan lancar demi pembangunan daerah Beluran.

Terletak kira-kira 110 kilometer dari bandar Sandakan, daerah Beluran kini giat merangka strategi untuk menarik pelancong, dalam usaha mengangkat potensinya sebagai destinasi pelancongan luar bandar yang baharu di Sabah.

LINK BERITA TERDAHULU:
https://sabahmedia.com/2025/05/14/beluran-sasar-jadi-destinasi-baharu-pelancongan-luar-bandar/

RELATED ARTICLES
Utama

Jenazah Bung Moktar selamat dikebumikan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular