Oleh Silar Pinikit
SOOK: Selepas menanti selama puluhan tahun, penduduk akhirnya berasa lega Kampung Karanaan Baru diwartakan sebagai perkampungan rasmi baru-baru ini.
Pewartaan tapak perkampungan Kampung Karanaan Baru membuktikan kesungguhan kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dalam mendahulukan kepentingan rakyat.
Menteri Belia Dan Sukan Datuk Ellron Angin berkata, dengan pewartaan ini, penduduk kampung tersebut akhirnya memiliki jaminan hak tanah yang sah untuk diwarisi oleh generasi akan datang.
Katanya, pewartaan ini juga membuka ruang kepada pembangunan kampung yang lebih teratur dan kesejahteraan komuniti.
Majlis Penyerahan Dokumen Warta Tapak Kampung Karanaan Baru disempurnakan sendiri oleh Ellron yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sook.
Pada majlis tersebut, Ellron turut menyumbangkan 100 buah kerusi untuk kegunaan masyarakat kampung.
Beliau berharap sumbangan kerusi ini dapat memberi manfaat serta menambah keselesaan penduduk dalam melaksanakan pelbagai aktiviti dan program komuniti.
“Inilah bukti bahawa Kerajaan GRS sentiasa bersama rakyat, membela hak mereka serta memastikan setiap komuniti turut menikmati arus pembangunan” katanya.
Turut hadir Ketua Daerah Sook Lanusag Etap dan Pengerusi JKKK Kampung Karanaan Baru Hajirin Matin.



