Oleh Sitti Nor Azizah Talata
TAWAU: Program Karnival Perpaduan Komuniti peringkat Majlis Perbandaran Tawau (MPT) berjaya menghimpunkan lebih 300 penduduk dari kawasan Muhibbah Bal dan Taman Victoria dalam satu usaha memperkukuh semangat perpaduan dan kebersamaan antara agensi kerajaan serta masyarakat setempat.
Program anjuran MPT itu turut melibatkan pelbagai jabatan dan agensi kerajaan termasuk Jabatan Perpaduan Negara, KEMAS, Hospital Besar Tawau, Pejabat Kesihatan Kawasan Tawau, PDRM, JKM, Jabatan Air, JKR, KPDN, SESB serta jabatan-jabatan Persekutuan dan negeri.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kukusan, Datuk Rina Jainal berkata, pihaknya menghargai usaha semua pihak yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung dalam menjayakan program tersebut.
“Program seperti ini mencerminkan semangat perpaduan sebenar dan menjadi platform memperkukuh hubungan antara rakyat dengan agensi kerajaan,” katanya ketika berucap sempena majlis perasmian program tersebut yang diadakan di Dewan Terbuka Taman Victoria
Beliau berkata, konsep perpaduan dalam komuniti perlu terus diperkasakan kerana ia melambangkan keharmonian dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum, agama dan budaya.
Katanya, melalui program seperti itu, ia bukan sahaja mampu menyatukan penduduk setempat, tetapi juga memperkukuh kepercayaan masyarakat terhadap dasar dan inisiatif kerajaan.
Program itu turut diadakan bersempena Sambutan Ulang Tahun Ke-55 Pengisytiharan Rukun Negara, sekali gus memberi peluang kepada masyarakat menghayati makna sebenar falsafah kebangsaan yang menjadi asas perpaduan rakyat Malaysia.
“Rukun Negara bukan sekadar simbol, tetapi benteng utama terhadap perpecahan. Nilai hormat, kemanusiaan dan keadilan sosial perlu terus dipupuk dalam setiap lapisan masyarakat,” jelasnya lagi.
Dalam pada itu, beliau turut menzahirkan harapan agar penganjuran program sebegini menjadi titik tolak kepada lebih banyak inisiatif komuniti bersifat inklusif dan progresif pada masa hadapan.



