PRN SABAH
HomeUtamaTamu Suara 360, platform terbaik dengarkan dan fahami aspirasi anak muda Sabah

Tamu Suara 360, platform terbaik dengarkan dan fahami aspirasi anak muda Sabah

Read Time:2 Minute, 1 Second

Oleh Florieta Diet

KOTA KINABALU: Program dialog interaktif Tamu Suara 360 yang menghimpunkan aspirasi dan suara anak muda Sabah disifatkan sebagai platform terbaik untuk mendengar kehendak serta keperluan generasi muda negeri ini.

Panel program di Dewan Hongkod Koisaan, KDCA, Datuk Firdaus Akbar Khan, berkata program seumpama itu merupakan salah satu peluang terbaik untuk anak muda bercerita dan memberikan gambaran sebenar tentang aspirasi mereka kepada kerajaan.

“Tanpa peluang seperti ini, saya risau kerajaan tidak faham aspirasi belia. Ini salah satu cara yang baik untuk kerajaan benar-benar memahami keperluan mereka,” katanya.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya mengucapkan tahniah kepada pihak penganjur kerana berjaya menyediakan peluang dan pentas kepada golongan belia untuk menyampaikan pandangan mereka.

Firdaus turut menyokong agar Tamu Suara 360 diteruskan dan dibantu sepenuhnya oleh kerajaan dengan menyediakan peruntukan yang lebih besar bagi memberi lebih banyak ruang kepada belia bersuara serta memakmurkan ekosistem pembangunan belia di negeri ini.

“Saya berharap kerajaan dapat memberi peruntukan lebih supaya peluang seperti ini dapat diteruskan. Saya juga sebahagian daripada golongan belia,” katanya.

Sementara itu, panel program di lokasi Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), Datuk Fairuz Renddan, berkata program seumpama itu memberi peluang kepada belia, khususnya pelajar institusi pengajian tinggi, untuk tampil mengemukakan soalan, pandangan dan cadangan secara terbuka kepada kerajaan negeri.

“Program ini memang terbaik. Saya lihat pelajar-pelajar yang hadir berani bersuara, memberikan cadangan yang bernas dan menunjukkan kematangan dalam berfikir. Inilah pentas yang sesuai untuk kita mendengar apa kemahuan dan keperluan belia masa kini di Sabah,” katanya.

Beliau yang juga Pembantu Menteri Belia dan Sukan menegaskan bahawa program bersemuka seperti ini wajar diteruskan di seluruh pelusuk negeri, termasuk kawasan luar bandar, bagi memastikan suara belia tidak hanya terhenti di media sosial.

“Kita tahu hari ini dunia tanpa sempadan, banyak platform digital seperti Facebook atau TikTok. Namun, bertemu secara fizikal lebih baik kerana ia mewujudkan hubungan dua hala yang lebih berkesan. Pentas seperti ini mesti dikekalkan,” katanya.

Menurut beliau, Tamu Suara 360 wajar menjadi inisiatif berterusan Majlis Belia Sabah sebagai saluran rasmi menyampaikan aspirasi dan isu belia kepada kerajaan negeri.

Untuk makluman Program Tamu Suara 360 berlangsung secara serentak hari ini di lima lokasi utama negeri ini dengan penyertaan lebih 2,000 peserta.

Selain SICC, dan Dewan Hongkod Koisaan KDCA di Penampang, tiga lokasi lain ialah Dewan Tertutup Kunak bersama Datuk Norazlinah Arif; Dewan Terbuka Beluran bersama Datuk Samad Jambri; serta Dewan Serbaguna Kampung Taun Gusi, Kota Belud bersama Datuk Mohd Arsad Bistari.

RELATED ARTICLES
Utama

Bung Moktar tegas di Parlimen tapi lembut di rumah – Shaheizy...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular