Oleh Wan Azrain Adnan
KOTA KINABALU, Ketika ada pihak yang menjual janji akan menyelesaikan isu bekalan air seandainya mereka berjaya menjadi Kerajaan dalam tempoh setahun, Kerajaan yang sedang mentadbir ketika ini ini sudahpun menjalankan pelbagai inisiatif untuk menambah baik pelaksanaan pelbagai projek bekalan air di seluruh negeri sejak sekian lama.
Malah Ketua Menteri Sabah baru-baru ini memaklumkan bahawa kerajaan negeri akan memperbadankan Jabatan Air Sabah sebagai langkah strategik untuk menangani isu bekalan air yang meluas. Beliau berkata, pengkorporatan itu diharap dapat meningkatkan kecekapan pengurusan sumber air dan mengurangkan kerugian akibat penyambungan haram.
Ketika ini, Sabah merekodkan kadar Air Tidak Berhasil (Non-Revenue Water, NRW) pada tahap 57 peratus — antara yang tertinggi di Malaysia.
18 Projek Air Sedang Dilaksanakan
Menurut Ketua Menteri, sebanyak 18 projek bekalan air sedang dilaksanakan di seluruh negeri, antaranya:
- Loji Rawatan Air Kogopon, Papar bernilai RM365 juta,
- Empangan Air Cinta Mata, Tawau bernilai RM300 juta,
- Projek Hidroelektrik Ulu Padas dengan kapasiti 6,000 juta liter sehari (MLD),
Malah Masalah air yang menghimpit penduduk Tawau dijangka selesai sepenuhnya pada 2028 apabila projek Skim Bekalan Air Tawau Fasa III di Empangan Cinta Mata siap dibina.
Setakat ini, projek berkenaan sudah mencapai kemajuan 64 peratus dan terus berjalan selepas beberapa kali tertangguh sejak dimulakan pada 2016.
Dan Hajiji turut yakin penambahbaikan bekalan air akan mula dirasai rakyat bermula tahun hadapan.
Isu Tadbir Urus Jabatan Air Sabah
Keputusan memperbadankan Jabatan Air Sabah dianggap tepat memandangkan jabatan itu sejak sekian lama dikaitkan dengan kelemahan tadbir urus dan kecekapan.
Pada Julai 2025, Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Kerja Raya meluahkan kekecewaan berhubung gangguan bekalan air di sekitar Kota Kinabalu, termasuk di hotel lima bintang dan pusat membeli-belah utama. Gangguan itu menjejaskan penduduk, peniaga serta mencalar imej pelancongan apabila hotel terpaksa membekalkan air botol kepada tetamu untuk kegunaan harian.
Selain ketidakcekapan, Jabatan Air Sabah juga pernah terpalit skandal rasuah terbesar di Malaysia pada 2016, apabila Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) merampas wang tunai lebih RM44 juta di pejabat dan rumah bekas pengarah jabatan berkenaan. Daripada jumlah itu, RM23 juta ditemukan di pejabat dan RM21 juta di rumah, termasuk RM13 juta yang disembunyikan di dalam bonet dua buah kereta.
Keterangan saksi di mahkamah mendedahkan rasuah berlaku secara sistematik melalui Skim Kutipan Berpusat, di mana komisen daripada kontraktor diagihkan kepada pegawai kanan termasuk pengarah, timbalan pengarah, juruukur bahan dan ketua kewangan.
Keperluan Pisahkan Peranan
Di bawah Enakmen Bekalan Air 2003, Jabatan Air Sabah memegang dua peranan utama: pengawal selia industri dan penyedia perkhidmatan bekalan air terawat. Namun, model “dua dalam satu” ini menimbulkan konflik kepentingan kerana pengawal selia terpaksa menyiasat dirinya sendiri sebagai penyedia perkhidmatan.
Model ini dilihat sudah ketinggalan dan tidak relevan. Negeri-negeri di Semenanjung Malaysia telah lama menggunakan pendekatan baharu yang mengasingkan peranan tersebut — di mana Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) bertindak sebagai pengawal selia manakala syarikat air negeri menjadi penyedia perkhidmatan.
Pendekatan sama telah terbukti berjaya dalam industri tenaga Sabah, apabila kerajaan negeri menubuhkan Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECOS) pada 2023 sebagai pengawal selia, manakala Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) menguruskan penjanaan, penghantaran dan pengagihan elektrik.
Manfaat Pengkorporatan
Pengkorporatan tidak bermaksud menyerahkan kuasa atau tanggungjawab kerajaan kepada pihak swasta. Ia sekadar menukar status agensi kerajaan menjadi syarikat milik penuh kerajaan di bawah Akta Syarikat 1965, bagi meningkatkan keberkesanan operasi.
Antara manfaat utama ialah:
- memperkemas operasi yang lebih cekap dan fleksibel tanpa birokrasi berlebihan;
- memperkukuh pengawasan, tadbir urus dan amalan terbaik;
- memudahkan akses pembiayaan projek;
- memperkasakan pengurusan tenaga kerja dengan pakej saraan kompetitif.
Kerajaan negeri juga boleh menjana pendapatan melalui dividen daripada agensi yang diperbadankan. Sebagai contoh, pada Oktober 2023 kerajaan Sabah menerima dividen RM138.7 juta daripada badan berkanun dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) miliknya untuk disalurkan kepada pembangunan ekonomi dan sosial negeri.
Pengkorporatan Jabatan Air Sabah dilihat sebagai langkah penting bagi memastikan industri air diurus dengan lebih cekap, berdaya saing dan telus demi kesejahteraan rakyat.



