PRN SABAH
HomePRNHubungan negeri - Persekutuan harus dijaga demi kepentingan Sabah - Hajiji

Hubungan negeri – Persekutuan harus dijaga demi kepentingan Sabah – Hajiji

Read Time:1 Minute, 26 Second

Oleh Rhea Dhamin

KOTA KINABALU: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor menegaskan bahawa hubungan baik dan kerjasama erat antara Kerajaan Negeri dan Persekutuan harus dijaga dan diperkukuh.

Hajiji yang juga merupakan Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) itu berkata hubungan baik ini bagi memastikan pelaksanaan dasar pembangunan berjalan lancar demi kepentingan rakyat.

“Sebagai contoh, tuntutan kita di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) telah membuahkan hasil semasa pentadbiran Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim).

“Kita telah menerima sembilan penurunan kuasa yang diberikan kepada negeri Sabah. Ini menunjukkan bahawa hubungan baik ini perlu diteruskan.

“Kita perlu tahu bahawa hubungan negeri dengan Persekutuan amat penting untuk masa depan dan kemajuan Sabah.

“Kita tidak harus bermusuhan dengan kerajaan Persekutuan kerana itu juga kerajaan kita,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media khas berkaitan pembubaran Dewan Undangan Negeri DUN) Sabah bertempat di Menara Kinabalu, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Hajiji turut berkata di
samping menuntut dan mempertahankan hak negeri, pihaknya juga menegaskan keperluan untuk menjaga kepentingan negara.

“Itu keyakinan saya. Jangan kerana menjaga kepentingan negeri, kita merosakkan kepentingan negara. Itu tidak betul,” katanya.

Sementara itu, beliau turut ditanya pemberita bagaimana peranan Ketua Menteri selepas pembubaran DUN diumumkan.

Menjawab soalan terbabit, Hajiji berkata selepas pembubaran DUN, kerajaan negeri sedia ada akan berfungsi sebagai kerajaan sementara (caretaker government).

“Sehingga kerajaan baharu dilantik atau Ketua Menteri baharu mengangkat sumpah, Ketua Menteri yang ada sekarang akan terus berfungsi sebagai Ketua Menteri ‘caretaker’.

“Saya yakin GRS akan memilih calon terbaik sebagai Ketua Menteri selepas ini. Mengapa saya memilih untuk membubarkan DUN hari ini?
Saya merasakan hari inilah masa yang paling sesuai untuk kita bubarkan DUN.

“Insya-Allah, GRS dan Pakatan Harapan (PH) akan menang bersama-sama dengan rakan-rakan kita untuk terus memimpin Sabah,” katanya

RELATED ARTICLES
PRNUtama

Sepuluh ahli jemaah menteri baharu Sabah angkat sumpah hari ini

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular