Oleh Rhea Dhamin
KOTA KINABALU: Lima orang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang bernaung dibawah Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) akan kekal menyokong Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Perkara terbabit disahkan oleh Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor susulan Presiden STAR, Datuk Seri Jeffrey Kitingan, baru-baru ini dilaporkan telah membuat keputusan untuk keluar daripada gabungan terbabit.
“Mereka (lima ADUN STAR) telah memaklumkan kepada saya mereka menyokong GRS,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu sidang media khas berkaitan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-16 Sabah bertempat di Dewab Bankuasi, Menara Kinabalu, di sini, hari ini.
Antara ADUN STAR yang kekal menyokong GRS adalah Datuk Ellron Angin (Sook); Datuk Abidin Madingkir (Paginatan); Datuk Robert Tawik (Bingkor); Datuk Annuar Ayub (Liawan) dan Datuk Flovia Ng (Tulid).
Dalam pada itu, Hajiji turut mengulang pendiriannya dengan menegaskan bahawa keanggotaan STAR dan Parti Maju Sabah (SAPP) dalam GRS telah terbatal secara automatik susulan dua parti terbabit memutuskan bertanding dengan menggunaka logo parti sendiri.
Menurutnya, Mesyuarat Majlis Presiden GRS telah sebulat suara bahawa semua parti komponen yang bernaung dibawah gabungan itu perlu bertanding atas logo GRS.
“Bagaimanapun ini tidak terguna pakai kepada Pakatan Harapan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut ditanya pemberita sekiranya terdapat kemungkinan GRS khususnya parti komponennya Parti Bersatu Sabah (PBS) bakal berdepan calon daripada STAR dan SAPP.
Menjawab soalan terbabit, Hajiji menyatakan keyakinannya bahawa pihaknya mampu menandingi mereka.
“Kita amat yakin PBS akan bersama-sama dengan kita. Kita yakin pengaruh PBS cukup kuat untuk membantu perjuangan GRS,” ujarnya.



