PRN SABAH
HomePRNPRN17 : Phoong Jin Zhe sedia pertahan kerusi DUN Luyang

PRN17 : Phoong Jin Zhe sedia pertahan kerusi DUN Luyang

Read Time:1 Minute, 31 Second

KOTA KINABALU : Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Luyang Datuk Phoong Jin Zhe menegaskan kesediaannya untuk mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Luyang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang bakal diadakan tidak lama lagi.

Kesediaan itu adalah susulan pengumuman pembubaran rasmi DUN Sabah hari ini.

Menerusi kenyataan yang dimuat naik di Facebook beliau, Phoong turut menzahirkan rasa terima kasih dan penghargaan kepada semua pengundi Luyang serta rakyat Sabah atas kepercayaan dan peluang yang diberikan untuk berkhidmat selama ini.

“Terima kasih, setulus hati saya ucapkan. Berkhidmat untuk rakyat Sabah dan Luyang merupakan satu penghormatan dan kebahagiaan terbesar dalam hidup saya,” katanya.

Beliau berkata, sepanjang tempoh perkhidmatannya, pelbagai cabaran besar telah dilalui termasuk ketika pandemik dan suasana politik yang tidak menentu.

Namun katanya, beliau tetap berpegang kepada prinsip untuk berkhidmat dengan jujur dan tekun demi rakyat.

“Saya berharap saya tidak mengecewakan anda semua. Saya percaya semua dapat melihat perubahan positif yang telah berlaku di Luyang,” katanya.

Sementara itu, beliau menegaskan, keputusan untuk mempertahankan kerusi Luyang dibuat kerana masih banyak misi dan agenda pembangunan yang belum selesai, terutama dalam memperkukuh suara generasi muda dan memperjuangkan politik berteraskan nilai baharu.

“Dengan penuh rendah hati dan keikhlasan, saya akan sekali lagi memohon mandat baharu daripada rakyat untuk meneruskan perjuangan dan memastikan perubahan terus berlaku,” katanya.

Beliau turut menyeru agar rakyat Sabah bersatu menolak politik lama dan membuka lembaran baharu ke arah politik yang lebih matang, berprinsip dan berpaksikan kepentingan rakyat.

“Saya percaya politik Sabah memerlukan generasi baharu untuk memimpin. Sudah tiba masanya kita meninggalkan politik lama dan mengorak langkah ke arah politik baharu, inilah masa depan Sabah,” katanya.

Sambil mengambil semangat perpaduan sempena sambutan Perayaan Kuihbulan, beliau menyeru agar rakyat terus bersatu padu dalam membina negeri yang lebih maju dan sejahtera.

“Saya akan terus berusaha dengan semangat positif demi Sabah yang lebih Maju dan Makmur,” katanya. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

Ribuan umat Islam hadir solat jenazah Allahyarham Bung Moktar Radin di...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular