Oleh Florieta Diet
KOTA KINABALU: Di sebalik pelbagai cabaran termasuk krisis ekonomi, isu infrastruktur awam dan ketidakstabilan politik, Datuk Jannie Lasimbang tetap teguh dengan prinsip kepimpinan yang berteraskan keadilan dan inklusiviti, demi memastikan rakyat Kepayan terus menjadi keutamaan.
Dalam satu kenyataan melalui TikTok, Jannie merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terus memberikan sokongan dan kepercayaan terhadap kepimpinannya.
“Izinkan saya menyampaikan setinggi-tinggi penghargaan kepada penduduk Kepayan yang saya cintai, rakan-rakan seperjuangan dalam DAP, Pakatan Harapan dan Kerajaan Sabah, serta semua yang bersama-sama saya dalam perjalanan ini.
“Walaupun kita berdepan pelbagai cabaran seperti krisis ekonomi, isu infrastruktur awam dan ketidakstabilan politik, saya tetap berpegang teguh kepada prinsip kepimpinan yang adil, inklusif dan mampan.
“Matlamat saya jelas memastikan suara rakyat Kepayan terus didengar, difahami dan diutamakan dalam setiap dasar yang dibentuk,” katanya.
Jannie yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kapayan memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah tahun 2020 atas tiket Parti Tindakan Demokratik (DAP), yang merupakan komponen dalam Pakatan Harapan (PH).



