Oleh Normimie Diun
KOTA KINABALU: Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) merangkap Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata status parti dua pemimpin, Datuk Ir. Shahelmey Yahya dan Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy, akan ditentukan apabila tiba masanya.
Beliau berkata kedua-dua pemimpin berkenaan menyatakan hasrat untuk bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17 Sabah akan datang atas tiket GRS.
“Shahelmey dengan Andi, apabila sampai masa kita akan dapat tentukan. Mereka sekarang berkeinginan untuk mewakili ataupun bertanding atas tiket GRS. Itu keinginan mereka. Saya tidak halang kerana mereka adalah pemimpin iaitu satu menteri, satu pemimpin muda,” katanya.
Hajiji berkata demikian ketika ditanya media mengenai status kedua-dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) itu selepas menghadiri program Tamu Suara 360: Aspirasi Anak Muda di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini, hari ini.
Mengulas mengenai rundingan agihan kerusi antara GRS dan Pakatan Harapan (PH), Hajiji menjelaskan perbincangan sudah diadakan bersama Setiausaha Agung PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, baru-baru ini.
“Kita telah berbincang dengan PH dan sehingga kini, kita sedang menamatkan proses agihan kerusi antara GRS dan PH,” katanya.
Menjawab dakwaan bahawa lebih 20 kerusi akan diminta oleh PH, Hajiji menjelaskan perkara itu adalah lumrah dalam mana-mana gabungan politik.
“Memanglah dalam gabungan mana-mana pun, semua mahu kerusi yang banyak. Tapi kita mesti praktikal. Mana-mana kawasan yang ada peluang tinggi untuk menang, itulah yang kita minta supaya peluang kita menangkan rakyat lebih besar,” jelasnya.
Ketika ditanya sama ada “praktikal” bermaksud jumlah kerusi yang diperoleh mungkin kurang daripada jumlah yang diminta, beliau sekadar tersenyum sambil berkata, “Nanti saya jawab.”



