PRN SABAH
HomeSukanSukan Sabah terus jadi platform cungkil bakat atlet negeri

Sukan Sabah terus jadi platform cungkil bakat atlet negeri

Read Time:1 Minute, 50 Second

TAWAU: Penganjuran temasya Sukan Sabah (SAGA) yang kini memasuki edisi ke-11 terus menjadi platform penting dalam pembangunan sukan negeri. 

Pengarah Majlis Sukan Negeri Sabah (MSNS), Mohd Asneh Mohd Noor berkata, temasya sukan itu telah dianjurkan sejak tahun 2003 dan kekal sebagai medan pemilihan serta pertandingan untuk mencungkil bakat atlet tempatan.

“Sebenarnya, SAGA ini sudah kita laksanakan sebanyak 11 edisi. Jika diikutkan, ia dianjurkan dua tahun sekali bermula sejak 2003. Walaupun pernah terjejas akibat pandemik COVID-19, SAGA kali ini merupakan edisi ke-11.

“Jadi, lebih kurang sudah 23 tahun kita laksanakan. Matlamat sejak awal selepas SUKMA 2002 adalah untuk mewujudkan satu platform pembangunan sukan secara menyeluruh di Sabah,” katanya kepada media ketika ditemui di Dewan Serbaguna Tawau pada Ahad.

Menurut Mohd Asneh, SAGA berfungsi sebagai medan pemilihan dan persediaan atlet untuk menyertai kejohanan yang lebih tinggi seperti SUKMA dan juga mewakili Malaysia di peringkat antarabangsa.

“Kita harap SAGA ini menjadi platform yang mampu melahirkan atlet berprestasi tinggi dan menyumbang kepada misi negeri serta negara,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata MSN Sabah memainkan peranan penting dalam edisi kali ini dengan mengetuai jawatankuasa teknikal dan memastikan semua pertandingan berjalan lancar serta mematuhi piawaian ditetapkan.

“Secara asasnya, MSN memang mengetuai jawatankuasa teknikal dan pertandingan. Untuk edisi di Tawau ini, kita menguruskan seramai 1,070 pegawai teknikal yang terlibat bagi memastikan 23 jenis sukan yang dianjurkan berjalan lancar dan memenuhi spesifikasi antarabangsa.

“Kita juga berharap rekod-rekod seperti rekod kebangsaan atau rekod SUKMA dapat dipecahkan sepanjang penganjuran SAGA kali ini,” katanya.

Mohd Asneh turut menyatakan bahawa SAGA merupakan temasya sukan terbesar di Malaysia peringkat negeri yang melibatkan pelbagai pihak.

“Saya anggap SAGA XI merupakan temasya sukan terbesar dengan penyertaan seramai 7,758 atlet, 1,070 pegawai teknikal serta melibatkan 30 kontinjen meningkat daripada 28 sebelum ini dan sebanyak 23 jenis sukan dipertandingkan.

“Kita harap temasya ini terus menjadi medan mencungkil bakat dan melahirkan atlet berpotensi tinggi yang bukan sahaja mewakili Sabah, malah negara,” katanya.

Dalam aspek kejurulatihan, Mohd Asneh menjelaskan bahawa pihaknya memastikan hanya jurulatih yang berkelayakan dan berpengalaman dipilih bagi membimbing para atlet.   

Beliau turut menegaskan bahawa usaha ini diharap mampu menyumbang kepada misi jangka panjang negara dalam meraih pingat emas pertama di temasya Olimpik.

RELATED ARTICLES
Sukan

Piala FA : Sabah ke pentas akhir selepas penantian 27 tahun

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular