Oleh Silar Pinikit
KENINGAU: Seluruh barisan Ahli Jawatankuasa (AJK) Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) Bahagian Liawan mengambil keputusan keluar parti dan kekal bersama Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Mantan Timbalan Ketua Bahagian STAR Liawan, Ramanus Michael, berkata langkah itu bukan keputusan kecil atau bersifat emosi, sebaliknya lahir daripada kesedaran bahawa parti hanyalah wadah, manakala perjuangan sebenar adalah demi rakyat dan kepimpinan yang diyakini.
Beliau berkata, keputusan itu dibuat secara bersama selepas menilai hala tuju politik semasa serta melihat keikhlasan dan keupayaan penyandang ADUN Liawan, Datuk Annuar Ayub Aman, dalam membangunkan kawasan tersebut.
“Hari ini, semua AJK Bahagian memilih untuk kekal teguh bersama Datuk Annuar, seorang pemimpin yang telah membuktikan keikhlasan, kerja nyata dan hala tuju jelas untuk masa depan Liawan,” katanya.
Ramanus menegaskan, keputusan itu tidak berasaskan sentimen, tetapi berpaksikan kepada prinsip perjuangan berteraskan kejujuran, kepercayaan dan keutamaan rakyat.
“Kita tidak menoleh ke belakang, kita tidak terikat pada simbol atau warna, kerana perjuangan kita berakar pada kepercayaan dan kejujuran,” tegasnya.
Menurutnya, pendirian itu tidak mudah digoyahkan kerana mereka yakin dengan kepimpinan yang benar-benar berjuang demi kepentingan rakyat Liawan.
“Bersama Datuk Annuar, kita terus melangkah. Bersama GRS, kita terus membina Liawan yang maju, stabil dan berdaya saing,” katanya.
Keputusan tersebut turut dimuktamadkan melalui surat rasmi bertajuk “Penjelasan Pendirian Kekal Dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Pengumuman Keluar dari Parti STAR”, yang dihantar kepada Presiden Parti STAR Sabah, Datuk Seri Dr Jeffrey G. Kitingan, di ibu pejabat parti di Kota Kinabalu.
Dalam surat berkenaan, seluruh AJK Bahagian STAR N.41 Liawan menegaskan pendirian untuk kekal bersama GRS sebagai platform politik yang diyakini membawa kepentingan rakyat, serta memaklumkan pengunduran rasmi mereka daripada keahlian STAR berkuat kuasa pada tarikh surat tersebut.
Surat itu disusun dalam nada sopan dan profesional sebagai tanda penghargaan terhadap kepimpinan STAR, khususnya Dr Jeffrey, atas peluang berkhidmat dalam parti sebelum ini.
“Keputusan ini dibuat atas dasar prinsip, integriti dan kesetiaan kepada perjuangan rakyat Liawan bukan kerana kepentingan peribadi atau politik sempit. Inilah perjuangan kita, bukan kerana parti tetapi kerana prinsip dan keikhlasan,” ujar Ramanus.
Dengan langkah itu, kepimpinan STAR Bahagian Liawan dilihat kini lumpuh dan terbubar sepenuhnya.



