PRN SABAH
HomeUtama756 pelajar Kolej Tingkatan Enam Kota Kinabalu sertai Kempen Internet Selamat

756 pelajar Kolej Tingkatan Enam Kota Kinabalu sertai Kempen Internet Selamat

Read Time:1 Minute, 3 Second

KOTA KINABALU: Seramai 756 pelajar Kolej Tingkatan Enam (Prauniversiti) Kota Kinabalu menyertai Kempen Internet Selamat (KIS) anjuran Kementerian Komunikasi melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) yang diadakan di Dewan Citra, kolej berkenaan di sini, hari ini.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, hadir menyempurnakan program yang bertujuan memperkukuh kesedaran keselamatan siber serta memupuk budaya penggunaan internet secara beretika dan bertanggungjawab dalam kalangan generasi muda.

Menurut kenyataan MCMC yang dikeluarkan hari ini, kempen itu memberi tumpuan kepada isu semasa seperti penipuan dalam talian, buli siber, perkongsian maklumat peribadi dan penyebaran maklumat palsu.

Melalui pendekatan interaktif, pelajar didedahkan kepada cara mengenal pasti risiko siber, memahami taktik manipulasi penipuan serta menilai kesahihan maklumat sebelum dikongsi.

Selain itu, peserta turut diberi penekanan mengenai kepentingan berhemah di media sosial dengan tidak berkongsi maklumat peribadi secara berlebihan bagi mengelak risiko keselamatan dan penyalahgunaan data.

KIS merupakan antara usaha berterusan pihaknya untuk memperkasakan masyarakat digital yang celik teknologi, beretika dan sejahtera di ruang siber.

Setakat Oktober 2025, sebanyak 4,734 institusi pendidikan di seluruh negara telah menyertai KIS, termasuk 434 institusi dari Sabah.

Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Dato’ Seri Mohamad Fauzi Md Isa; Timbalan Pengarah Urusan (Kawal Selia dan Korporat) MCMC, Datuk Zurkarnain Mohd Yasin; dan Pengetua Kolej Tingkatan Enam Kota Kinabalu, Suhaibul Kassim.

RELATED ARTICLES
Utama

Bung Moktar bina kekuatan pasukan Sabah melalui kepercayaan dan dedikasi

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular