PRN SABAH
HomeUtamaMahkamah arah semakan semula hak 40% hasil Sabah dalam tempoh 90 hari

Mahkamah arah semakan semula hak 40% hasil Sabah dalam tempoh 90 hari

Read Time:3 Minute, 18 Second

Oleh J.Evachel John

KOTA KINABALU: Mahkamah Tinggi hari ini memerintahkan Kerajaan Persekutuan untuk mengadakan semakan semula bersama Kerajaan negeri Sabah berhubung 40 peratus hasil bersih persekutuan yang dikutip dari Sabah.

Hakim Datuk Celestina Stuel Galid membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan semakan kehakiman oleh Sabah Law Society (SLS).

Dalam keputusannya, Celestina antara lain membenarkan perintah mandamus yang dipohon oleh SLS pada perenggan 112 dalam Lampiran 101 dengan pindaan pada perenggan 3(a).

Perintah mandamus itu mengarahkan kerajaan persekutuan untuk mengadakan semakan semula bersama Kerajaan Negeri Sabah di bawah peruntukan Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan, bagi melaksanakan hak pemberian 40 peratus hasil bersih kepada Negeri Sabah seperti yang diperuntukkan di bawah Perkara 112C, dibaca bersama subseksyen (1) Seksyen 2 Bahagian IV Jadual Kesepuluh Perlembagaan Persekutuan.

“Semakan tersebut hendaklah dijalankan bagi setiap tahun kewangan berturut-turut (consecutive financial year) dari tahun 1974 hingga tahun 2021, dalam tempoh 90 hari dari tarikh perintah ini dikeluarkan, dan persetujuan antara kedua-dua kerajaan hendaklah dicapai dalam tempoh 180 hari dari tarikh perintah ini.

“Saya tidak membuat sebarang perintah berhubung kos bagi pindaan ini,” katanya.

Ketika membacakan keputusannya, Celestina antara lain berkata mahkamah berpendapat bahawa SLS telah berjaya membuktikan bahawa Perintah Kajian Semula Kedua yang dibuat oleh kedua-dua kerajaan untuk menimbangkan dan menetapkan pemberian khas kepada Negeri Sabah adalah tidak sah dan ‘ultra vires’, iaitu melampaui kuasa yang diberikan kepada mereka.

“Adalah tidak sah bagi Kerajaan Persekutuan untuk membuat pemberian khas seperti yang dimaksudkan di bawah Jadual Kesepuluh kepada Negeri Sabah. Tindakan sedemikian adalah tidak sah dan tidak rasional, serta melanggar Perlembagaan Persekutuan dalam konteks semakan kehakiman ini,” katanya.

Celestina memaklumkan bahawa keputusan penghakiman penuh bertulis dijangka akan siap pada Selasa (21 Okt) atau Rabu (22 Okt).

Sementara itu pasukan guaman SLS yang diketuai oleh Dr David Fung berkata secara ringkasnya, hak 40 peratus yang dijanjikan kepada Sabah ini perlu dilaksanakan oleh Kerajaan Persekutuan bersama Kerajaan Negeri.

“Kita bercakap tentang hak 40 peratus yang sepatutnya diterima oleh negeri bagi tempoh dari 1974 hingga 2021. Itu melibatkan 48 tahun. Hak bagi tempoh tahun-tahun yang hilang itu tidak terhapus, kata mahkamah.

“Oleh kerana ini merupakan tanggungjawab perlembagaan kerajaan, mereka kini perlu mengkaji semula dan menentukan jumlah sebenar. Mahkamah turut memberikan tempoh masa untuk melaksanakannya. Itulah intipatinya,” katanya ketika diminta menjelaskan mengenai Keputusan Mahkamah Tinggi.

David berkata mahkamah turut mengambil kira dokumen-dokumen perlembagaan seperti Suruhanjaya Cobbold, Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Laporan Antara Kerajaan (IGC) ketika menafsir maksud hak 40 peratus di bawah Perlembagaan Persekutuan.

“Mahkamah juga mempertimbangkan keadaan sosial yang sedang dihadapi negeri pada masa ini. Hak 40 peratus ini sepatutnya digunakan oleh kerajaan negeri untuk menyediakan perkhidmatan negeri, serta meningkatkan pembangunan.

“Negeri ini telah ketinggalan kerana tiada pembayaran bagi hak ini sepanjang 48 tahun tersebut,” katanya.
Selain David, SLS juga diwakili oleh peguam Jeyan Marimuttu dan Janice Lim.

Pada Jun 2022, SLS memfailkan permohonan untuk kebenaran memulakan prosiding semakan kehakiman tersebut dan menamakan Kerajaan Persekutuan Malaysia dan Kerajaan Negeri Sabah masing-masing sebagai responden pertama dan kedua.

Pada November 2022, Mahkamah Tinggi memberikan kebenaran kepada SLS untuk meneruskan prosiding semakan kehakiman.

Kerajaan Persekutuan kemudiannya memfailkan rayuan ke Mahkamah Rayuan bagi mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi tersebut. Namun pada Jun 2024, Mahkamah Rayuan sebulat suara menolak rayuan Kerajaan Persekutuan, sekali gus mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan SLS meneruskan prosiding semakan kehakiman.

Kerajaan Persekutuan kemudian memfailkan permohonan untuk mendapat kebenaran merayu ke Mahkamah Persekutuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan.

Bagaimanapun, pada Oktober 2024, Mahkamah Persekutuan sebulat suara menolak permohonan itu, menyebabkan kes berkenaan dikembalikan ke Mahkamah Tinggi untuk perbicaraan merit substantif.

Kerajaan Persekutuan diwakili oleh Peguam Kanan Persekutuan (SFC) Ahmad Hanir Hambaly @ Arwi, bersama Peguam Persekutuan (FC) Nur Atirah Aiman Rahim dan Mohammad Solehheen Mohammad Zaki.

Kerajaan Negeri Sabah pula diwakili oleh Peguam Besar Negeri Sabah Datuk Brenndon Soh, bersama Pegawai Undang-Undang Negeri Mohd Saifurrazee Hussin, Devina Teo dan Roland Alik.

Terdahulu pada sebelah pagi, bekas Ketua Menteri Sabah Datuk Yong Teck Lee dan Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Jeffrey Kitingan turut hadir di mahkamah.

RELATED ARTICLES
Utama

Bung Moktar bina kekuatan pasukan Sabah melalui kepercayaan dan dedikasi

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular