PRN SABAH
HomeUtamaMOTAC lancar Destinasi Pelancongan Komuniti CoBT Kampung Bambangan, Batu Sapi

MOTAC lancar Destinasi Pelancongan Komuniti CoBT Kampung Bambangan, Batu Sapi

Read Time:1 Minute, 26 Second

SANDAKAN : Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) telah melancarkan Destinasi Pelancongan Berasaskan Komuniti (CoBT) di Kampung Bambangan, Batu Sapi, yang dirasmikan oleh Timbalan Menterinya, Datuk Khairul Firdaus Akbar Khan, pagi Sabtu.

Kampung Bambangan, yang merupakan kluster pertama Program Pengalaman Homestay Malaysia (PPHM) di Sandakan, menawarkan pengalaman unik kepada pelancong untuk menyelami gaya hidup masyarakat setempat.

Antara tarikan utama destinasi ini ialah aktiviti berkelah di Jeti Lagenda, lawatan ke perusahaan ketam lembut, aktiviti memancing di rumah pancing dan pengalaman River Cruise menyusuri keindahan paya bakau Hutan Simpan Kabili-Sepilok.

Lokasinya yang berdekatan dengan tarikan popular seperti Sepilok, Rainforest Discovery Centre dan Taman Memorial Sandakan menjadikannya sebahagian daripada pakej pelancongan lengkap di Sandakan.

Dalam ucapan perasmian, Khairul Firdaus memuji semangat gotong-royong, perpaduan dan kebersamaan komuniti Kampung Bambangan yang mencerminkan nilai-nilai MADANI.

“Kesediaan penduduk menerima pelancong membuktikan komitmen masyarakat tempatan dalam memupuk semangat hospitaliti, kekitaan dan keterangkuman sosial yang menjadi teras pelancongan berasaskan komuniti,” ujarnya.

Beliau turut memetik, “Bila pelancong datang ke Bambangan, mereka bukan sekadar melihat tempat, tetapi mereka merasai kasih sayang, budaya dan keindahan komuniti Sabah yang sejati.”

Dari segi prestasi, Sabah merekodkan pendapatan sebanyak RM15.1 juta melalui PPHM pada tahun 2024, dengan kehadiran seramai 202,053 pelancong. Sehingga Ogos 2025, negeri itu telah mencatatkan pendapatan RM13.1 juta dengan jumlah kehadiran pelancong seramai 161,318 orang.

Sabah juga mempunyai 39 kluster homestay, 135 buah kampung, 33 buah kampungstay, 525 orang peserta dan 7 buah koperasi aktif yang menjadi penggerak utama ekonomi komuniti pelancongan.

Menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026), MOTAC berhasrat untuk terus memperkukuh pelancongan berasaskan komuniti selaras dengan nilai Daya Cipta MADANI. Ini akan dilaksanakan melalui sokongan dalam latihan, promosi dan pembangunan infrastruktur bagi meningkatkan daya saing sektor pelancongan luar bandar.

RELATED ARTICLES
Utama

Jenazah Bung Moktar selamat dikebumikan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular