PRN SABAH
HomeUtamaCadangan had umur akses media sosial dapat sambutan positif masyarakat

Cadangan had umur akses media sosial dapat sambutan positif masyarakat

Read Time:2 Minute, 46 Second

Oleh Erdie Ab Wahid

KOTA KINABALU : Cadangan kerajaan untuk menetapkan had umur minimum 16 tahun bagi membuka akaun media sosial disambut baik oleh orang ramai yang berpendapat langkah tersebut penting dalam memastikan keselamatan dan kesejahteraan mental remaja di era digital masa kini.

Langkah itu dilihat sebagai salah satu usaha kerajaan untuk membendung pendedahan awal terhadap kandungan tidak sesuai, termasuk bahan berunsur lucah, keganasan, penipuan siber dan buli dalam talian yang semakin membimbangkan.

Bagi Madzaral Sebalun, 49, beliau menyokong sepenuhnya cadangan itu dengan alasan usia 16 tahun merupakan tahap kematangan awal di mana remaja sudah mampu menilai baik dan buruk sesuatu kandungan.

“Saya setuju kerajaan tetapkan had umur 16 tahun untuk membuka akaun media sosial. Ini mengambil kira pelbagai kandungan dalam platform tersebut yang tidak semuanya sesuai untuk kanak-kanak bawah umur.

“Pendedahan kepada kandungan negatif pada usia terlalu muda iaitu seawal 12 tahun atau sebelumnya  boleh memberi kesan terhadap kestabilan emosi dan perkembangan mental anak-anak.

“Usia 16 tahun lebih sesuai dan matang untuk menilai kandungan yang diakses. Pada usia ini juga proses keremajaan berlaku dan mereka mula belajar menilai nilai moral dan sosial,” jelasnya.

Madzaral turut menekankan bahawa pemantauan ibu bapa tetap perlu berjalan seiring dengan dasar baharu itu. Di rumahnya, beliau mengambil pendekatan praktikal dengan mengehadkan masa capaian internet anak-anak.

“Saya menutup talian internet pada jam 7 malam dan hanya membenarkan penggunaannya bermula jam 9 pagi. Didikan digital harus bermula dari awal, bukan selepas sesuatu dasar diwujudkan. Pendidikan itu perlu datang dari rumah,” katanya lagi.

Bagi seorang ibu, Fauziah Ngaimin,54, yang turut berkongsi pandangan senada namun berpendapat usia 17 hingga 18 tahun lebih sesuai sebagai had minimum sebenar untuk membuka akaun media sosial.

“Saya setuju dengan tujuan kerajaan menghadkan penggunaan telefon pintar kepada mereka bawah 16 tahun. Sekarang ini terlalu banyak konten dalam media sosial yang tidak sesuai untuk anak-anak,” katanya.

Menurutnya lagi, usia 16 tahun masih terlalu muda kerana remaja pada peringkat itu cenderung meniru, cepat terpengaruh dan belum mampu menapis maklumat dengan baik.

“Ia memberi kerisauan kepada ibu bapa kerana anak-anak mudah terpengaruh dengan gaya hidup atau ideologi yang tidak sesuai dengan nilai kita,” tambahnya.

Sebagai langkah pencegahan, beliau sendiri menghadkan masa penggunaan telefon pintar kepada anak-anak dan memastikan beliau mempunyai akses kepada akaun media sosial mereka bagi memantau aktiviti secara langsung.

“Saya pastikan saya tahu apa yang mereka tonton dan siapa yang mereka berinteraksi dalam talian. Pendidikan digital penting, tetapi sekatan umur juga perlu bagi melindungi mereka daripada pengaruh negatif,” katanya lagi.

Bagi Nurul Aqilah Ahmad,29, seorang ibu muda, penetapan had umur minimum itu adalah langkah tepat dan wajar dilaksanakan segera.

“Saya bersetuju dengan tindakan kerajaan ini kerana ia membolehkan ibu bapa memantau penggunaan media sosial anak-anak dengan lebih baik. Media sosial sekarang terlalu ekstrem dan sukar dikawal,” katanya.

Tambahnya, walaupun usia 16 tahun bukan terlalu muda, namun pemantauan ibu bapa tetap perlu bagi memastikan kandungan yang diterima sesuai dengan peringkat usia dan kefahaman anak-anak.

“Langkah ini tidak akan melindungi 100 peratus, tetapi sekurang-kurangnya ia satu pencegahan awal sebelum kes jenayah siber, buli dalam talian dan pornografi menjadi lebih meluas,” jelasnya.

Cadangan had umur minimum 16 tahun bagi penggunaan media sosial ini turut dilihat sebagai usaha kerajaan membentuk persekitaran digital yang lebih selamat untuk generasi muda, sejajar dengan hasrat mewujudkan masyarakat celik teknologi tetapi tetap beretika. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

Bung Moktar bina kekuatan pasukan Sabah melalui kepercayaan dan dedikasi

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular