GUIYANG, CHINA : Politeknik Kota Kinabalu (PKK) terus melangkah ke hadapan dalam memperkukuh jaringan antarabangsa apabila menandatangani Surat Niat (Letter of Intent) dengan Guiyang Vocational and Technical College, Guizhou, China.
Majlis menandatangani dokumen berkenaan menjadi simbol kerjasama strategik antara kedua-dua institusi dalam memperkasa bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di peringkat global.

Dalam majlis yang sama, sesi tersebut turut diserikan dengan perkongsian ilmu oleh para pensyarah PKK, semakan kurikulum bersama rakan institusi, serta lawatan sekitar kampus bagi meninjau kemudahan pembelajaran dan teknologi terkini yang digunakan di Guiyang Vocational and Technical College.
Program ini turut disertai oleh empat (4) orang pelajar PKK bersama 17 orang staf akademik, sekali gus memberikan pengalaman berharga dalam konteks pembelajaran rentas budaya dan kolaborasi antarabangsa.
Inisiatif ini menjadi platform penting ke arah pertukaran kepakaran, inovasi teknologi, dan perkongsian amalan terbaik dalam bidang teknikal serta vokasional — seiring dengan usaha Malaysia memperkukuh kedudukan sebagai hab TVET serantau.
Kerjasama sebegini bukan sahaja memperluas rangkaian akademik, tetapi juga membuka ruang kepada pembangunan modal insan yang berkemahiran tinggi dan berdaya saing di peringkat global.
Langkah ini mencerminkan komitmen berterusan PKK untuk mendukung agenda antarabangsa pendidikan TVET serta memperkukuh reputasi Malaysia sebagai peneraju inovasi dan kemahiran teknikal di Asia. – SABAH MEDIA / FOTO PKK



