SANDAKAN : Penduduk Kampung Lorong Selamat Batu 16, Gum-Gum kini boleh menarik nafas lega apabila jambatan utama yang menjadi laluan harian mereka berjaya dibaiki hasil inisiatif gotong-royong bersama pemimpin tempatan, RELA, dan komuniti setempat.
Jambatan tersebut yang mengalami kerosakan sejak beberapa bulan lalu telah menimbulkan kebimbangan penduduk, terutamanya warga emas dan kanak-kanak yang terpaksa merentasi laluan itu setiap hari. Beberapa insiden hampir terjatuh turut dilaporkan.
Menyedari keperluan mendesak ini, satu program gotong-royong telah dilaksanakan baru-baru ini dengan penyertaan istimewa Datuk Jaffari Waliam, Ahli Majlis Tertinggi Parti Gagasan Rakyat Sabah dan bekas ADUN Dilantik Sabah.
“Saya datang bukan hanya untuk melihat, tetapi bersama-sama membantu. Kita tidak boleh biarkan rakyat terus dalam keadaan tidak selamat, lebih-lebih lagi melibatkan kemudahan asas seperti jambatan,” katanya.
Program tersebut turut disertai oleh anggota RELA yang bertindak membantu dari segi logistik dan keselamatan, manakala penduduk kampung menyediakan tenaga kerja serta bahan asas untuk membaiki jambatan berkenaan.
Menurut seorang penduduk, Mariam Ahmad, 56, kehadiran pemimpin yang turun padang amat dihargai oleh masyarakat kampung.
“Kami rasa didengar dan dihargai. Selama ini kami hanya harap ada pihak bantu. Bila Datuk Jaffari turun sendiri, kami rasa sangat bersyukur,” katanya.
Projek pembaikan yang mengambil masa satu hari itu bukan sahaja memulihkan struktur jambatan, malah menghidupkan kembali semangat gotong-royong yang kian pudar dalam masyarakat moden.
Jaffari turut menyatakan hasrat untuk terus menyokong usaha komuniti dalam menyelesaikan isu-isu setempat secara kolaboratif.
“Jika kita semua mainkan peranan, banyak masalah dapat selesai tanpa menunggu bantuan besar. Kunci kejayaan adalah kerjasama,” katanya. – SABAH MEDIA



