Oleh J. Evachel John
KOTA KINABALU: Jentera Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) N.58 Lamag kini berada pada tahap kesiapsiagaan penuh untuk menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) DUN Sabah yang bakal diadakan tidak lama lagi.
Ketua Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) Bahagian Lamag, Abu Bakar Gapar, berkata persiapan jentera GRS telah digerakkan sejak tiga tahun lalu melalui pelbagai program di peringkat akar umbi, dan kini bersedia sepenuhnya untuk menghadapi saingan di kawasan itu.
“Kita akan memastikan siapa saja calon yang telah dipersetujui dan ditetapkan di setiap kawasan akan kita usaha menangkan. Insya-Allah, khususnya di DUN Lamag atau N.58 Lamag, jentera GRS sudah bersedia menghadapi siapa sahaja calon.
“Kami juga telah sepakat terhadap tiga nama yang sering diwar-warkan. Kami sudah sepakat, sehati sejiwa dan sebulat suara, siapa sahaja yang diangkat menjadi calon GRS di kawasan Lamag, kita akan berusaha untuk memenangkannya,” katanya.
Menurut beliau, sambutan daripada golongan muda dan penduduk kampung di Lamag semakin menunjukkan keinginan kepada perubahan kepimpinan dan wajah baharu dalam politik tempatan.
“Melihat kepada komitmen jentera, sambutan anak muda dan penduduk kampung, khususnya di Lamag, jelas menunjukkan keinginan mereka untuk mengubah tampuk kepemimpinan dan mencari susuk tubuh pemimpin baharu.
“Saya percaya ini adalah visi dan misi kita — mengangkat seorang daripada kalangan anak muda. Insya-Allah, kami sudah bersedia,” katanya.
Beliau turut menyeru masyarakat dan pengundi Lamag, sama ada yang berada di dalam atau di luar kawasan, agar bersatu hati dan terus menyokong perjuangan GRS di bawah pimpinan Yang Amat Berhormat Datuk Seri Hajiji Noor selaku pengerusi gabungan itu.
“Ayuh masyarakat Lamag, penduduk Lamag, pengundi-pengundi Lamag yang di luar mahupun di dalam, marilah kita bersama-sama menyokong GRS yang dipimpin oleh Yang Amat Berhormat Datuk Seri Hajiji Noor serta semua komponen yang berada di dalamnya.
“Marilah kita sama-sama menangkan GRS pada pilihan raya kali ini. Insya-Allah,” katanya.
Pada PRN16 Sabah, 26 September 2020, Datuk Seri Bung Moktar Radin memenangi kerusi Dun Lamag atas tiket Barisan Nasional (BN) yang pertama kali ditandingkan (kerusi baharu) dengan memperolehi 661 majoriti dalam pertandingan enam penjuru.
Kerusi berkenaan yang disandang oleh Bung sejak 2020 adalah antara tiga kerusi Dun, selain Sukau dan Kuamut dalam Parlimen Kinabatangan yang turut disandangnya sejak beberapa penggal.
Sebelum ini, media melaporkan, Bung Moktar tidak berhasrat melepaskan kerusi Dun Lamag pada PRU DUN Sabah kali ini.



