PRN SABAH
HomeUtamaSabah Open Dancesport 2025 tonjolkan Sabah sebagai destinasi pelancongan sukan dunia

Sabah Open Dancesport 2025 tonjolkan Sabah sebagai destinasi pelancongan sukan dunia

Read Time:1 Minute, 17 Second

KOTA KINABALU :  Kejohanan Sabah Open Dancesport Championship ke-21 2025 bukan sahaja menjadi pentas bakat sukan tarian dari seluruh Asia, malah turut memperkukuh imej Sabah sebagai destinasi pelancongan bertaraf dunia.

Berlangsung meriah di ibu negeri pada malam Sabtu lalu, acara tahunan itu menghimpunkan lebih 160 peserta dari dalam dan luar negara, termasuk China, Hong Kong, Taiwan, Jepun, Singapura, Indonesia dan Filipina.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah (Caretaker), Datuk Seri Christina Liew, dalam ucapan perasmian, mengalu-alukan pengunjung dan peserta untuk turut meneroka keindahan alam semula jadi Sabah sepanjang berada di sini.

“Jangan lepaskan peluang untuk menikmati keindahan Gunung Kinabalu dan Taman Kinabalu yang diiktiraf sebagai tapak Warisan Dunia UNESCO, serta pulau-pulau yang memukau.

“Gunakan juga perkhidmatan ‘Hop On, Hop Off’ yang baharu untuk menjelajah tempat-tempat menarik sekitar Kota Kinabalu,” katanya.

Christina turut menzahirkan penghargaan kepada penganjur dan sekolah-sekolah tarian tempatan, khususnya Imperial Ballroom Dancing School Kota Kinabalu, atas usaha mereka membudayakan tarian sebagai gaya hidup sihat untuk semua peringkat umur.

“Sukan tarian ini bukan sahaja memperkasakan golongan muda, malah memberi peluang kepada warga emas untuk terus aktif dan berkeyakinan. Inilah sumbangan sebenar kepada kesejahteraan masyarakat,” tambahnya.

Sementara itu, Pengerusi Penganjur merangkap Pengetua Imperial Ballroom Dancing School, Antony Keung, berkata penganjuran selama lebih dua dekad mencerminkan komitmen tinggi pihaknya untuk memartabatkan Sabah dalam arena sukan tarian antarabangsa.

“Penganjuran acara sebesar ini tidak mudah, tetapi dengan sokongan berterusan daripada kementerian dan komuniti, ia mampu direalisasikan.

“Kami bangga kerana kejohanan ini berjaya meletakkan Sabah dalam radar dunia sebagai pusat tarian sukan serantau,” ujarnya.

RELATED ARTICLES
Utama

Ribuan umat Islam hadir solat jenazah Allahyarham Bung Moktar Radin di...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular