Oleh Erdie Ab Wahid
KOTA KINABALU: Golongan muda terutama pengundi baharu berusia 18 tahun ke atas diseru agar menggunakan hak mereka dengan bijak pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 dengan memberikan sokongan kepada Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang terbukti komited membantu rakyat di semua peringkat.
Ketua Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Klias, Datuk Isnin Aliasneh, berkata, kerajaan GRS merupakan satu-satunya gabungan politik yang benar-benar memberi perhatian kepada pembangunan anak muda dan masa depan mereka.
“Saya minta kepada anak-anak muda, khususnya pengundi baharu, supaya berikan sokongan dan undi kepada GRS.
“Inilah parti yang banyak membantu anak muda, termasuk mereka yang masih bersekolah,” katanya kepada Sabah Media di sini.
Beliau yang juga penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Klias berkata, kerajaan pimpinan GRS telah berjaya meningkatkan pendapatan negeri serta mengekalkan kestabilan ekonomi berbanding pentadbiran sebelum ini.
“GRS bukan sekadar pandai bercakap, tetapi melaksanakan janji dan membuktikan keupayaan mentadbir. Jadi jangan sia-siakan undi kepada parti yang hanya tahu bercakap tanpa tindakan,” tegasnya.
Sementara itu, Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Petagas Mohd Isquzawan Israq Arsit turut menyeru pengundi muda agar menilai jasa kerajaan yang banyak memberi inisiatif kepada pelajar dan belia.
Katanya, ini termasuklah Bantuan Tunai Pendaftaran IPT (BUDI); Bantuan Sumbangan Mahasiswa Pengajian Tinggi Dalam Negeri Sabah (SENTOSA) dan pelbagai bantuan pendidikan.
“Saya mengharapkan agar anak muda dan pengundi pertama ini meneruskan sokongan kepada kerajaan GRS demi kelangsungan masa depan pelajar dan belia Sabah,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pergerakan Pemuda Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Datuk Fairuz Renddan berkata, suara anak muda merupakan penentu kepada hala tuju kerajaan negeri akan datang.
“Kepada semua anak muda Sabah, khususnya pengundi kali pertama, buatlah keputusan yang terbaik. Masa depan negeri ini terletak di tangan kita,” katanya.
“Turun mengundi, jangan lepaskan peluang. Undilah untuk kestabilan, undilah GRS,” katanya. – SABAH MEDIA



