Oleh J. Evachel John
KOTA KINABALU: Bekas Timbalan Pengarah Jabatan Air Negeri Sabah (JANS), Lim Lam menafikan dakwaan bahawa beliau menerima jutaan ringgit rasuah, sebaliknya menegaskan memperoleh wang melalui sumber yang sah termasuk pelaburan di Singapura.
Ketika memberi keterangan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Abu Bakar Manat, Lim menafikan menerima wang rasuah berjumlah RM29,578,843.60 seperti yang didakwa oleh saksi pendakwaan ke-29, Teo Chee Kong.
Lim juga menafikan menerima rasuah berjumlah RM31,025,495.11 seperti yang didakwa oleh saksi pendakwaan ke-45, pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Mohd Yussof Awang Osman.
Lim berkata demikian ketika menjawab soalan peguamnya, Datuk Tan Hock Chuan, pada sesi pembelaan hari ini.
Untuk rekod, pada 12 Januari 2023, Teo, yang merupakan Timbalan Pengarah selepas Lim, memberi keterangan bahawa beliau telah menyerahkan sejumlah RM29,578,843.60 kepada Lim antara April 2005 hingga Februari 2015 berdasarkan sistem ‘centralised collection’.
Sementara itu, Mohd Yussof pada 22 Januari 2024 memberi keterangan bahawa Lim menerima rasuah berjumlah RM31,025,495.11 selama 10 tahun, dari 2005 hingga 2015.
Menjawab soalan lain, Lim berkata beliau menyerahkan wang tunai RM200,000 kepada SPRM pada 22 Oktober 2016; RM1.9 juta pada 7 November 2016; dan RM280,000 lagi pada 8 November 2016 mengikut arahan Mohd Yussof.
Lim mendakwa beliau mematuhi arahan itu kerana Mohd Yussof berjanji bahawa tiada tindakan akan diambil terhadapnya oleh SPRM sekiranya beliau menyerahkan wang tersebut.
Lim menambah bahawa beliau tidak akan menyerahkan wang berkenaan sekiranya janji itu tidak dibuat tidak dibuat oleh pegawai tersebut.
Datuk Tan: Penyerahan wang tunai pada tiga tarikh tersebut merupakan subjek bagi pertuduhan kedua, ketiga dan keempat terhadap anda. Berdasarkan keterangan anda, anda diarahkan oleh Mohd Yussof untuk mengeluarkan wang daripada akaun bank, menjual saham dan menyerahkan wang tunai itu kepada SPRM. Apa pandangan anda terhadap tiga pertuduhan ini? Adakah anda terlibat dalam aktiviti pengubahan wang haram melibatkan tiga jumlah tersebut?
Lim: Saya boleh mengesahkan bahawa jumlah RM200,000, RM1.9 juta dan RM280,000 itu adalah daripada akaun bank peribadi saya, akaun ASB isteri saya serta pelaburan saham saya di Singapura. Wang tersebut adalah sah dan tidak ada kena-mengena dengan tuduhan palsu yang dibuat serta direka oleh Teo Chee Kong dan Mohd Yussof.
Menjawab soalan lain, Lim berkata Mohd Yussof tidak pernah merujuk kepada sebarang dokumen berkaitan pelaburannya di Singapura dalam siasatannya terhadap beliau.
Lim dibicarakan bersama Ag Mohd Tahir Mohd Talib dan Fauziah Hj Piut atas pertuduhan pengubahan wang haram. Ag Mohd Tahir isterinya telah selesai memberi keterangan masing-masing.
Lim berdepan empat pertuduhan memiliki wang tunai dan kenderaan hasil daripada aktiviti haram antara Oktober 13 dan November 8, 2016 di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia di Jalan UMS dan di sebuah rumah di sini.
Sementara itu, Ag Mohd Tahir menghadapi 11 pertuduhan, manakala Fauziah mempunyai 19 pertuduhan di bawah Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.
Fauziah turut berdepan dua pertuduhan bersama dengan Ag Mohd Tahir di bawah seksyen yang sama, manakala Ag Mohd Tahir mempunyai satu lagi pertuduhan di bawah Seksyen 4(1)(a) akta tersebut.
Pasangan itu didakwa melakukan kesalahan itu di pelbahai lokasi antara 4 Oktober dan 4 November 2016.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Mahadi Abdul Jumaat, Haresh Prakash Somiah dan Zander Lim.
Lim turut diwakili oleh peguam Baldev Singh, Karpaljit Singh dan Kelvin Wong.
Ag Mohd Tahir dan Fauziah diwakili oleh peguam Datuk Hj Ansari Abdullah dan Erveana Ansari.
Perbicaraan akan disambung pada 11 hingga 13 November ini.


