PRN SABAH
HomePRNWarisan putar isu, Pindaan Akta LHDN sebenarnya kejayaan GRS

Warisan putar isu, Pindaan Akta LHDN sebenarnya kejayaan GRS

Read Time:3 Minute, 3 Second

KOTA KINABALU: Timbalan Setiausaha Agung Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Armizan Mohd Ali menegaskan bahawa Parti Warisan cuba memutarbelit fakta berhubung pindaan Akta Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) 1995, sedangkan perubahan itu sebenarnya merupakan kejayaan besar hasil usaha bersama kerajaan GRS, Kerajaan Madani dan kerajaan GPS di Sarawak.

Katanya, pindaan tersebut bukan sahaja mengiktiraf hak Sabah dan Sarawak dalam sistem percukaian negara, malah menjadi bukti nyata komitmen kerajaan terhadap pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Naratif yang dibawa Warisan penuh emosi dan mengelirukan. Pindaan Akta LHDN 2023 bukan kegagalan saya, tetapi kemenangan rakyat Sabah,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Armizan berkata, dalam peruntukan asal Akta LHDN 1995, tiada sebarang klausa yang mewajibkan keanggotaan lembaga itu disertai wakil dari Sabah dan Sarawak.

Menurutnya, usaha memperjuangkan perkara itu bermula selepas penubuhan GRS apabila Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Seri Dr Maximus Ongkili dilantik sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab terhadap Hal Ehwal Sabah dan Sarawak pada tahun 2020.

“Isu ini dibawa ke Majlis Khas MA63 hasil rundingan antara kerajaan negeri Sabah di bawah pimpinan GRS dan kerajaan GPS di Sarawak, berpandukan Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC) 1962,” jelasnya.

Hasil rundingan itu, keperluan pelantikan wakil Sabah dan Sarawak dimasukkan sebagai agenda baharu Majlis Khas MA63. Ia berpandukan Bab III Perkara 24 Laporan IGC 1962 yang menyebut keperluan perwakilan negeri-negeri Borneo dalam Malaysian Board of Income Tax.

“Walaupun sistem percukaian tertakluk di bawah bidang kuasa Persekutuan, kehadiran wakil Sabah dan Sarawak penting bagi memastikan kedua-dua wilayah ini terlibat secara langsung dalam pelaksanaan dasar percukaian negara,” katanya.

Menurut Armizan, cadangan tersebut akhirnya direalisasikan dengan pelantikan Datuk Petrus Gimbad sebagai wakil Sabah dalam LHDN bermula 1 September 2022, hasil syor Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor.

Katanya, pelantikan itu kemudiannya diinstitusikan menerusi pindaan kepada Akta LHDN yang diluluskan di Parlimen pada tahun 2023 bagi mewujudkan peruntukan undang-undang tetap untuk wakil Sabah dan Sarawak.

“Pindaan ini memaktubkan bahawa pelantikan dibuat oleh Menteri Kewangan setelah berunding dengan Ketua Menteri Sabah dan Premier Sarawak, sekali gus memastikan rundingan kerajaan negeri menjadi syarat wajib,” jelasnya.

Armizan berkata, pindaan tersebut juga memberi ruang fleksibiliti kepada kerajaan negeri untuk menamakan wakil profesional sama ada dari dalam atau luar perkhidmatan awam negeri, bergantung kepada keperluan dan kesesuaian calon.

Beliau turut menjelaskan bahawa proses pindaan ini diputuskan selepas pembentangan Nota dan Memorandum Jemaah Menteri pada Disember 2022 dan Januari 2023, hasil arahan terus Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Perdana Menteri sendiri menunjukkan komitmen tinggi terhadap pelaksanaan MA63 apabila meluluskan pindaan ini dalam tempoh tujuh bulan pentadbiran beliau,” katanya.

Mengulas kenyataan mantan Ahli Parlimen Sepanggar yang menuding kesalahan kepadanya, Armizan berkata tindakan itu hanyalah cubaan Warisan untuk menutup kegagalan sendiri.

“Kalau benar Warisan penyelamat Sabah, kenapa isu ini tidak dimasukkan dalam agenda ketika mereka berkuasa? Sedangkan ia jelas terkandung dalam Laporan IGC sejak 1962,” soalnya.

Beliau turut menegaskan bahawa pelaksanaan pindaan Akta LHDN (Pindaan) 2023 tidak melibatkan individu tertentu, sebaliknya hasil kerjasama pelbagai pihak termasuk Timbalan Perdana Menteri Datuk Amar Fadillah Yusof, Kementerian Kewangan serta kerajaan negeri Sabah dan Sarawak.

“Kalau Warisan mahu menuding jari kepada saya, adakah mereka juga mahu menyalahkan Dato’ Amar Fadillah atau Perdana Menteri sendiri? Fakta jelas menunjukkan pindaan ini hasil keputusan kolektif,” katanya.

Armizan berkata, apa yang lebih penting ialah kemenangan rakyat Sabah yang akhirnya melihat hak negeri diiktiraf secara sah dalam struktur pentadbiran fiskal negara.

“Pindaan Akta LHDN ini bukan sekadar victory for Sabah, tetapi victory for the federation kerana ia membuktikan semangat federalisme masih hidup,” tegasnya.

Beliau turut menyindir dakwaan Warisan kononnya parti itu penyelamat Sabah.

“GRS tidak pernah gah mengaku penyelamat Sabah. Apa yang kami mahu adalah rakyat bersatu menjaga negeri ini. Rumah Kita, Kita Jaga,” katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

Jenazah Bung Moktar selamat dikebumikan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular