PRN SABAH
HomeUtamaSPRM cadang lima langkah perkukuh tatakelola lesen mencarigali di Sabah

SPRM cadang lima langkah perkukuh tatakelola lesen mencarigali di Sabah

Read Time:1 Minute, 24 Second

KOTA KINABALU : Jabatan Tanah dan Ukur (JTU) serta Sabah Mineral Management Sdn Bhd (SMM) dicadang untuk melaksanakan lima langkah penambahbaikan bagi memperkukuh ketelusan dan akauntabiliti dalam proses permohonan lesen mencarigali (Prospecting License – PL) di negeri ini.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menerusi Bahagian Penyiasatan Tatakelola (BPT) dalam satu kenyataan memaklumkan, cadangan itu dikemukakan selepas SPRM mendapati terdapat lima kelemahan utama, termasuk ketiadaan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang lengkap.

Selain itu, proses penilaian permohonan yang tidak seragam serta amalan tatacara kerja yang berpotensi menimbulkan kekeliruan dan ketidakselarasan antara dua agensi berkenaan.

Menurut SPRM, antara penemuan utama ialah keperluan memperjelas tatacara penghantaran Surat Minat (Letter of Interest – LOI) oleh pemohon, selain memastikan permohonan yang gagal melepasi syarat ketat tidak terus dibawa ke mesyuarat lembaga pengarah.

Dalam sesi pembentangan di Wisma Tanah dan Ukur, Kota Kinabalu, BPT SPRM menyarankan supaya JTU dan SMM menyedia serta mendokumenkan SOP pelaksanaan proses permohonan PL secara menyeluruh.

Selain itu, meminda SOP agar LOI dikemukakan terus kepada SMM dan mengemaskini SOP berkaitan Analisis Ketekunan Wajar (DDA).

Turut disaran untuk dilaksanakan adalah mewujudkan SOP khusus bagi permohonan lanjutan PL; dan membangunkan portal digital SMM bagi meningkatkan ketelusan maklumat kepada orang awam.

Cadangan berkenaan bertujuan memastikan sistem tatakelola sektor perlombongan di Sabah lebih efisien dan bebas daripada sebarang ruang penyalahgunaan kuasa.

Kedua-dua pihak, JTU dan SMM, turut menyatakan penghargaan terhadap hasil dapatan dan bersetuju dengan langkah penambahbaikan yang dicadangkan menerusi Laporan Penambahbaikan Tatakelola, yang ditandatangani oleh Pengarah JTU, Datuk Sr Bernard Liew Chiu Min dan Ketua Pegawai Eksekutif SMM, Natasha Sim Nuo, disaksikan oleh Ahmad Shukri.

Turut hadir ialah Penasihat Integriti Menteri Sabah, Awang Samsul Baharam Bungso, wakil Pejabat Setiausaha Bumi Sabah, serta pengurusan kanan kedua-dua agensi.

RELATED ARTICLES
Utama

Program Pembersihan Pantai Tahunan Ke-11 teguhkan komitmen FOSTER terhadap pemuliharaan penyu...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular