PRN SABAH
HomeUtamaTaman Botani Tun Fuad Stephens dibuka semula 27 Oktober ini

Taman Botani Tun Fuad Stephens dibuka semula 27 Oktober ini

Read Time:1 Minute, 51 Second

KOTA KINABALU : Taman Botani Tun Fuad Stephens, Bukit Padang di sini akan dibuka semula kepada orang awam bermula pada 27 Oktober ini selepas melalui proses penilaian menyeluruh terhadap status kerja-kerja pembinaan yang sedang dijalankan di kawasan tersebut.

Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) dalam satu kenyataan memaklumkan, pembukaan semula itu dibuat selepas Program Brisk Walk Pra Pembukaan yang diadakan baru-baru ini.

Menurut DBKK, program itu adalah bagi meninjau keselamatan dan kesesuaian laluan joging sedia ada untuk digunakan oleh orang awam.

“Hasil tinjauan mendapati bahawa aktiviti pembinaan di kawasan trek joging tidak lagi melibatkan kerja berat, sebaliknya tertumpu kepada kerja-kerja kekemasan dan pelengkap.

“Sehubungan itu, laluan joging utama kini dibuka kepada orang awam, tertakluk kepada pematuhan peraturan keselamatan dan garis panduan yang ditetapkan oleh DBKK.

“Selain itu, laluan hiking turut dibuka semula kepada orang awam kecuali Trek Hiking No. 2 yang kekal ditutup memandangkan laluan ini melalui kawasan Pusat Botani yang masih mempunyai kerja-kerja pembinaan aktif,” menurut kenyataan itu.

Waktu operasi taman ditetapkan dari pukul 6 pagi hingga 7 malam setiap hari, mengambil kira masih adanya kerja-kerja pembinaan yang sedang dijalankan di kawasan lain dalam taman tersebut.

Walau bagaimanapun, DBKK menegaskan bahawa beberapa kawasan masih ditutup sepenuhnya kepada orang awam kerana masih berada dalam fasa pembinaan dan belum selamat untuk digunakan.

Kawasan yang terlibat ialah Pusat Botani; Commercial Plaza; Boardwalk dan Lake Walk; Conservatory Park dan Bamboo Corner serta Herb Garden

DBKK turut menegaskan bahawa sebarang pencerobohan ke kawasan larangan adalah dilarang sama sekali, dan DBKK tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang kemalangan atau kecederaan yang berlaku akibat pelanggaran larangan tersebut.

Dalam tempoh ini juga, pihak DBKK sedang melaksanakan kerja-kerja penyediaan dan pemasangan papan tanda pemakluman, papan larangan serta petunjuk arah di kawasan taman bagi memastikan keselamatan serta kemudahan pengunjung.

Sementara itu, pihak kontraktor yang bertanggungjawab ke atas Projek Pembangunan Taman Botani Tun Fuad Stephens Kota Kinabalu telah dikenakan Liquidated Ascertained Damages (LAD) sebanyak RM2,704.61 sehari, bermula pada 15 Julai 2025, sehingga semua kerja pembinaan disiapkan sepenuhnya mengikut spesifikasi dan piawaian yang ditetapkan.

DBKK turut berharap agar orang awam dapat memberikan kerjasama sepenuhnya dengan mematuhi arahan keselamatan yang dikeluarkan serta menjaga kebersihan kawasan taman bagi memastikan kelestarian dan kesejahteraan bersama dapat dikekalkan – SABAH MEDIA  / FOTO DBKK

RELATED ARTICLES
Utama

Bung Moktar bina kekuatan pasukan Sabah melalui kepercayaan dan dedikasi

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular