Putatan: Masyarakat di daerah Putatan diseru untuk terus menyokong dan menyertai pelbagai acara kemasyarakatan yang dianjurkan bagi memastikan komuniti kekal sihat, aktif dan bersatu padu.
Ahli Parlimen Putatan, Datuk Ir. Shahelmey Yahya, berkata sokongan masyarakat amat penting bagi memupuk budaya hidup sihat dan memperkukuh ikatan ukhuwah dalam kalangan penduduk setempat.
“Selain membudayakan aktiviti sihat, dengan kepelbagaian acara sedia ada di daerah Putatan ini, saya berpendapat melalui sokongan daripada kelompok masyarakat itu sendiri, maka kita mampu menjadi komuniti yang cerdas, sihat dan berintelektual di masa hadapan.

“Sehubungan itu, saya berharap agar masyarakat, kelompok komuniti yang ada di Putatan ini sentiasa sokong menyokong dengan mana-mana acara kemasyarakatan, aktiviti sukan atau pertandingan yang dianjur sama ada kerajaan atau NGO, semuanya demi membudayakan aktiviti sihat, “katanya.
Beliau berkata demikian selepas perasmian Festival Sukan Taman Sri Serigai, Tanjung Keramat, Putatan, di sini pada Ahad.
Antara acara yang diadakan adalah pertandingan dart, karom dan futsal.
Mengulas mengenai program berkenaan, Shahelmey berkata, pihaknya merancang untuk mengadakan pertandingan dart peringkat Parlimen Putatan susulan peningkatan peminat sukan tersebut di daerah itu baru-baru ini.
“Saya mendapat maklum balas daripada ramai yang mana sukan dart ini semakin di sukai oleh banyak golongan masyarakat dan Putatan juga ada peminatnya tersendiri.
“Oleh yang demikian, kita akan merangka perancangan untuk menganjur pertandingan ini di peringkat Parlimen, Insyallah diusahakan, ” katanya. – SABAH MEDIA



