PRN SABAH
HomeUtamaMalaysia Gesa ASEAN Kekal Bersatu, Teguh Hadapi Ketidaktentuan Dunia — Anwar

Malaysia Gesa ASEAN Kekal Bersatu, Teguh Hadapi Ketidaktentuan Dunia — Anwar

Read Time:2 Minute, 42 Second

KUALA LUMPUR :  Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menggesa negara-negara anggota ASEAN untuk terus bersatu dan memperbaharui semangat kerjasama dalam menghadapi dunia yang semakin tidak menentu dan sarat dengan persaingan geopolitik.

Berucap pada Majlis Pembukaan Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), Anwar menegaskan bahawa kepimpinan bukan sekadar rutin, tetapi soal pilihan untuk menentukan keutamaan, memperkukuh perpaduan, dan mengemudi haluan rantau ini ke arah masa depan yang diyakini rakyat.

“Tahun 2025 menuntut lebih daripada kita. Dunia kini berasa tidak menentu tatanan lama tidak lagi pasti, yang baharu masih belum terbentuk.

Dalam cabaran ini, ASEAN mesti kekal percaya bahawa hormat dan rasional masih mengikat kita bersama,” katanya.

Dalam Perdana Menteri turut menyifatkan penandatanganan perjanjian damai antara Kemboja dan Thailand di Kuala Lumpur sebagai bukti nyata bahawa semangat ASEAN masih hidup.

Beliau menegaskan, perdamaian bukanlah tanda kelemahan, tetapi satu keberanian untuk mengubah masa depan.

“Rekonsiliasi bukanlah satu konsesi, tetapi tindakan keberanian. Dan apabila keamanan dipilih, ia mampu membentuk semula masa depan sesebuah bangsa,” ujar beliau.

Timor-Leste Lengkapkan Keluarga ASEAN

Anwar turut mengalu-alukan kemasukan rasmi Timor-Leste sebagai anggota ASEAN, yang disifatkannya sebagai langkah bersejarah yang melengkapkan keluarga ASEAN serta meneguhkan semangat kekitaan serantau.

Beliau menegaskan bahawa pembangunan dan autonomi strategik Timor-Leste akan menerima sokongan kukuh daripada seluruh komuniti ASEAN.

Usaha Berterusan ke Arah Keamanan di Myanmar

Sebagai Pengerusi ASEAN, Malaysia menekankan komitmen untuk terus berusaha mencari jalan damai di Myanmar, berpandukan Konsensus Lima Perkara.

Anwar berkata, ASEAN telah menggunakan pelbagai saluran dan rakan kerjasama untuk mengurangkan keganasan dan meringankan krisis kemanusiaan di negara itu, namun penyelesaian sebenar mesti berpaksikan kepada kepimpinan rakyat Myanmar sendiri.

“Keamanan yang berkekalan tidak boleh dipaksakan. Ia mesti dimiliki dan dipimpin oleh rakyat Myanmar sendiri,” tegasnya.

Perdagangan, Tenaga dan Ekonomi Digital Jadi Tonggak Baharu

Dalam bidang ekonomi, Perdana Menteri mengumumkan pelancaran naiktaraf Perjanjian Perdagangan Barangan ASEAN (ATIGA) yang bakal mewujudkan pasaran serantau lebih lancar dan bersepadu.

Beliau juga menekankan komitmen ASEAN mempercepatkan pelaksanaan Grid Tenaga ASEAN (ASEAN Power Grid) serta Kemudahan Pembiayaan APG, bagi memperkukuh peralihan tenaga bersih dan selamat.

Selain itu, ASEAN akan memajukan Rangka Kerja Ekonomi Biru dan Ekosistem Kenderaan Elektrik Serantau, selaras dengan aspirasi membina industri hijau dan mampan.

Rangkaian AI Selamat ASEAN Ditubuhkan

Menjelang tahun 2030, ekonomi digital ASEAN dijangka mencecah AS$2 trilion, dan bagi mempercepatkan integrasi digital, ASEAN akan menandatangani Perjanjian Rangka Ekonomi Digital (DEFA) pada tahun 2026.

Anwar turut mengumumkan penubuhan Rangkaian Keselamatan AI ASEAN (AI SAFE) untuk memastikan penggunaan kecerdasan buatan disertai dengan etika, keselamatan, dan tadbir urus yang baik.

Perkukuh Jambatan ke Selatan Global

Mengulas hubungan antarabangsa, Anwar berkata Malaysia menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak ASEAN-GCC ke-2 dan ASEAN-GCC-China, serta akan mempengerusikan Sidang Kemuncak RCEP ke-5 esok.

Beliau turut mengalu-alukan penyertaan Brazil dan Afrika Selatan sebagai tetamu Pengerusi di Sidang Kemuncak Asia Timur ke-20 (EAS), menandakan langkah penting ASEAN memperluas hubungan dengan blok BRICS dan G20.

Anwar menutup ucapannya dengan menyeru negara anggota supaya memandang ke hadapan dan membuat pilihan yang berani demi masa depan rantau ini.

“Masa depan ASEAN tidak akan ditentukan oleh keadaan, tetapi oleh pilihan yang kita buat hari ini,” katanya sebelum merasmikan Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 secara rasmi. – SABAH MEDIA / FOTO PMO

RELATED ARTICLES
Utama

Sahabat lama yang banyak berjasa – Hajiji

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular