Oleh Silar Pinikit
KENINGAU: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) terus menegaskan komitmen untuk memastikan kesejahteraan rakyat serta pembangunan negeri Sabah kekal menjadi keutamaan, bukan sekadar slogan politik semata-mata.
Ketua Pusat Daerah Mengundi (PDM) GRS Keningau Station, Yazid Mohd Hasnan Tawik Mansai @ Charles, berkata perjuangan GRS berasaskan niat murni untuk mengubah kehidupan rakyat tanpa mengira latar belakang, dan bukan hanya mengejar kedudukan atau kuasa.
“GRS bukan sekadar berjanji, kami bertindak! Setiap dasar dan langkah mesti membawa perubahan yang nyata – daripada pembangunan infrastruktur asas, peluang ekonomi, hingga kebajikan masyarakat luar bandar.
“Kami di sini untuk rakyat, bukan untuk kekuasaan,” katanya.
Beliau berkata, GRS terus memperkukuh pelbagai inisiatif bantuan sosial, membuka akses pendidikan dan keusahawanan yang lebih luas, selain memastikan kawasan pedalaman tidak lagi ketinggalan dalam arus pembangunan.
“Kemajuan Sabah hanya bermakna apabila setiap rakyat menikmati kesejahteraan yang sebenar.
“Sebab itu setiap pemimpin dan jentera GRS digerakkan untuk mendengar suara rakyat dan menunaikan amanah dengan penuh tanggungjawab,” jelasnya lagi.
Dalam masa yang sama, Yazid menyeru rakyat Sabah agar terus menzahirkan sokongan padu kepada kepimpinan GRS demi menjamin kesinambungan agenda pembangunan berteraskan kestabilan, integriti dan keikhlasan. – SABAH MEDIA



